KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) digesa mengambil tanggungjawab komunikasi dalam membuat pengumuman dan penjelasan awam berkenaan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus.
Bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Shahril Hamdan mencadangkan agar BNM memainkan peranan proaktif dalam komunikasi bagi memperjelas dan menjawab kritikan rakyat berhubung kenaikan OPR.
“BNM perlu main peranan aktif dalam komunikasi, pengumuman kenaikan OPR adalah hak dan kuasa BNM.
“Ini penting juga untuk akauntabiliti itu dikongsi dengan lebih banyak oleh BNM sendiri.
Bbukan hanya BNM buat keputusan tapi Menteri Kewangan pada ketika itu sama ada Tengku Zafrul, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri atau Anwar Ibrahim terpaksa memperjelas atau menerima pukulan politik daripada keputusan itu,” tegas Shahril dalam podcast Keluar Sekejap yang disiarkan pada Selasa.
Kongsi Shahril lagi, beliau pernah menyuarakan perkara ini sewaktu menjadi pengarah bahagian ekonomi.
“Sudah tentu kena kecam sebab orang ingat kita yang putuskan OPR atau kita cuba lari daripada tanggungjwab tapi faktanya mungkin BNM mungkin perlu lebih proaktif.
“…dan saya membayangkan seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom di mana Gabenor BNM perlu berdepan dengan subcommittee dalam Parlimen, kongres masing-masing bagi menjawab persoalan dan kritikan yang mungkin dilontarkan oleh mereka yang diundi secara demokratik oleh rakyat negara tersebut, saya fikir perkara yang boleh difikirkan,” katanya.
Pada 3 Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengumumkan kadar OPR meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus.
Dalam satu kenyataan, bank pusat berkenaan menyatakan kenaikan ini akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkatkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Ini menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik COVID-19 iaitu pada 7 Mei 2019.