KUALA LUMPUR – Jika “Kluster Mahkamah” dalam UMNO disamakan dengan binatang politik kritikan itu dibalas dengan mengibaratkan pimpinan Bersatu sebagai “Kluster Katak”.
Ketua UMNO Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Samad ternyata bengang dengan label yang diberikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman yang mengatakan “Kluster Mahkamah” sebagai binatang politik yang mempergunakan Ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.
“Senang je.Tak mahu jadi “Kluster Mahkamah”, lompat masuk Bersatu.
“Tak de kena masuk mahkamah. Tapi dah jadi katak politik. Katak ni pun haiwan.
“Katak Politik pun haiwan politik. Bila dah kumpul ramai-ramai dah jadi satu kluster. Kluster Katak,” katanya dalam satu catatan Facebook.
Shahrir memberitahu bahawa Kluster Katak ini terdapat dalam parti Bersatu.
“Sebenarnya katak politik ini dah melebehi jumlah ahli Parlimen ori Bersatu pun.
“Kesudahannya, Bersatu dah jadi parti katak pun!
“Perjuangan (Bersatu) selamatkan diri, dapat pangkat, dapat PhD dalam ilmu lompat katak,” bidas beliau.
Semalam Faiz berkata, Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.
“Mereka menjadikan wadah ‘Ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” katanya. -SuaraTV
Baca lagi:
EXCO Pemuda UMNO Gelar Kluster Melompat Parti ‘Kluster Binatang’