Zeti Nafi Suami, Anak Terima Wang 1MDB, Anggap Itu Dakwaan Berniat Jahat

- Advertisement -

CYBERJAYA – Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebentar tadi menerusi kenyataan kepada media menafikan dakwaan ahli keluarganya menerima dana daripada 1MDB.

“Dakwaan terhadap saya dan keluarga saya palsu dan berniat jahat sama sekali,” katanya dalam kenyataan itu.

Zeti berkata isu mengenai 1MDB itu sudah “disiasat secara menyeluruh dan teliti oleh pihak berkaitan, iaitu Bank Negara (BNM), polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)”.

Menurutnya lagi, beliau telah memberi kerjasama penuh dan semua maklumat diperlukan telah diberikan kepada polis dan SPRM berhubung siasatan ke atas 1MDB.

Kenyataan Zeti itu bagi menjawab dakwaan yang disiarkan oleh portal MalaysiaToday baru-baru ini mengenai wang sejumlah lebih RM100 juta yang didakwa diterima suami dan anak-anak beliau menerusi syarikat Cutting Edge Industries di Singapura.

Dalam kenyataan yang sama, Zeti yang kini Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, beliau tidak dapat memberi kenyataan lebih lanjut kerana status dirinya sebagai saksi berpotensi dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Oleh itu, pada pandangan saya, ia akan mengganggu perbicaraan yang masih berterusan dan berpotensi menjadi sub judice bagi saya untuk membuat sebarang kenyataan ketika ini.

“Saya ingin menegaskan keluarga saya dan saya tidak pernah menerima sebarang wang daripada 1MDB,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, portal FMT hari ini melaporkan peguam yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) yang mengaitkan suami dan anak-anak Zeti mengesahkan SD tersebut adalah tulen.

“SD berkenaan menyatakan suami dan dua anak lelaki Zeti bersetuju menyelesaikan isu dana 1MDB itu dengan kerajaan Singapura.

“Menurut SD itu, mereka bersetuju untuk memulangkan wang 1MDB dalam akaun mereka kepada syarikat itu, sekiranya pihak berkuasa Singapura menggugurkan siasatan.

“SD suami dan dua anak Zeti membuat cadangan penyelesaian itu dengan merujuk kepada Seksyen 370 Kanun Tatacara Jenayah Singapura, berkenaan perampasan harta.

“Suami Zeti, Tawfiq Ayman, dan anak mereka, Abdul Aziz dan Alif Ayman Aziz, menguruskan akaun itu bawah nama Cutting Edge Industries LTd, yang berpangkalan di Singapura,” ujar laporan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat