KUALA LUMPU – Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan suntikan fiskal strategik seperti pakej rangsangan ekonomi sebelum ini jika situasi ekonomi semasa memerlukan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata langkah memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19 merupakan satu daripada lima strategi bersepadu kerajaan pada tahun hadapan.
“Kerajaan akan membantu sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan mereka.
“Apabila ekonomi rakyat kukuh, tentulah lebih mudah untuk kita memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19.
“Kita tidak boleh leka dan alpa dengan kejayaan yang telah kita kecapi hari ini,” katanya semasa menyampaikan perutusan khas sempena sambutan tahun baharu 2021 yang disiarkan secara langsung hari ini.
Muhyiddin berkata kerajaan telah mengambil pendekatan inklusif dalam menangani isu kos sara hidup, kelangsungan hidup rakyat serta membasmi kemiskinan khususnya semasa COVID-19 dengan memperkenalkan empat Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM305 bilion.
Ini merangkumi pelbagai langkah untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat, menjamin kelangsungan dan lonjakan perniagaan serta memastikan ekonomi berada di landasan pemulihan, katanya.
Berhubung strategi bersepadu lain, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memastikan kestabilan politik negara termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan.
Kerajaan juga akan memastikan kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat, katanya.
“Saya percaya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik akan mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.
“Pelaburan domestik dan antarabangsa ini pastinya akan dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan membuka ruang perniagaan yang akan memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Muhyiddin, selain mengeratkan hubungan dengan jiran tetangga dalam rantau ASEAN, kerajaan akan terus memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara-negara yang berkongsi aspirasi sama, melalui platform sedia ada dan yang bakal dipelopori.
Hubungan Malaysia dengan negara luar dari segi diplomasi, keselamatan dan ekonomi akan sentiasa berpaksikan kepentingan strategik untuk jangka panjang, katanya. – Bernama