SPRM pantas siasat KLSCAH , RM2.1 bilion KKDW bila lagi? – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipersoal berhubung tindakan pantas menyiasat kontroversi pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), sedangkan belum mengambil tindakan segera terhadap dakwaan perbelanjaan melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Penasihat DAP Lim Guan Eng mendakwa, perbezaan tindakan itu menimbulkan persepsi wujudnya siasatan ‘dua darjat’, khususnya apabila satu isu membabitkan kementerian diterajui pemimpin DAP, manakala satu lagi membabitkan kementerian diterajui pemimpin Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dilaporkan diarahkan SPRM memberikan keterangan berhubung kontroversi pelanjutan pajakan tanah KLSCAH.

Katanya, Hannah sudah menjelaskan di Parlimen pada 23 November lalu bahawa pengurangan premium tanah KLSCAH daripada kira-kira RM4.67 juta kepada RM1,000 bagi pelanjutan pajakan sehingga 99 tahun dibuat mengikut tatacara, tatakelola dan prosedur ditetapkan.

Menurut Guan Eng, Hannah turut menyenaraikan tujuh pertubuhan yang sebelum ini menerima kadar premium nominal RM1,000 di Kuala Lumpur bagi membuktikan KLSCAH tidak diberikan layanan istimewa.

Antara pertubuhan itu ialah Yayasan Tuanku Bainun, Pertubuhan Bakti, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Keturunan Chan She Shu Yuen Kuala Lumpur dan Selangor serta Persatuan Badminton Malaysia.

Sebaliknya, Guan Eng mempersoalkan tiadq tindakan segera SPRM berhubung isu perbelanjaan melebihi peruntukan RM2.1 bilion oleh KKDW, walaupun Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan mengesahkan jumlah perbelanjaan berkenaan.

Beliau berkata, alasan awal SPRM bahawa siasatan tidak boleh dimulakan kerana tiada laporan juga tidak lagi relevan selepas Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, membuat laporan kepada SPRM pada 6 Oktober 2026.

“Jika SPRM boleh menjalankan siasatan terhadap kementerian Hannah Yeoh semata-mata atas desakan pemimpin BN atau PN, mengapa pula tiada sebarang tindakan terhadap KKDW apabila Kementerian Kewangan sendiri mengesahkan perbelanjaan lebihan RM2.1 bilion itu?” katanya.

Guan Eng berkata, SPRM perlu menjelaskan perbezaan tindakan berkenaan bagi mengelakkan persepsi bahawa siasatan agensi itu dipengaruhi kedudukan politik pihak yang terbabit.

Katanya, kegagalan menjawab persoalan berhubung dakwaan siasatan ‘dua darjat’ boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap profesionalisme dan kebebasan SPRM.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat