Penyatuan ummah bukan ilusi, Pas bendung kemungkaran dari dalam – Syahir balas Hassan Karim

KUALA LUMPUR – Penyatuan ummah bukan suatu ilusi atau falasi, sebaliknya misi untuk menghimpunkan kekuatan Melayu-Islam dan mempertahankan kedudukan Islam serta kedaulatan negara, tegas Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.

Menerusi sajak berjudul Tirai Ilusi, Syahir membidas tulisan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, dengan mempersoalkan kredibiliti perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya semakin terhakis akibat janji perubahan yang belum ditunaikan.

Menyindir penggunaan nilai keadilan, amanah dan demokrasi sebagai asas perjuangan PH, Syahir berkata, nilai tersebut tidak lagi dipandang tinggi apabila pelaksanaannya dilihat tidak selari dengan harapan rakyat.

“Janji memerangi korupsi, sebenarnya suatu ilusi. Ungkapan nilai murni, rupanya suatu falasi.

“Keadilan, Amanah, Demokrasi, Madani, tidak lagi dipandang tinggi,” katanya dalam sajak yang ditujukan sebagai jawapan kepada tulisan Hassan.

Syahir turut mengingatkan bahawa kepercayaan rakyat bukan sesuatu yang boleh diperoleh semula dengan mudah selepas dikhianati, sambil mendakwa legitimasi kepimpinan kerajaan semakin terhakis.

“Kepercayaan rakyat, bukan barang yang boleh dijual beli. Sekali dikhianati, rakyat tidak percaya lagi,” katanya.

Beliau turut mempertahankan pendirian politik kelompoknya yang memilih untuk terus berpegang kepada prinsip menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, termasuk menegur pihak sendiri apabila melakukan kesalahan.

“Bantulah saudaramu, yang zalim mahupun yang dizalimi. Yang dizalimi, bantulah daripada kezaliman. Yang zalim, bantulah dengan menegah kezalimannya,” katanya.

Mengulas pilihan politik Melayu-Islam, Syahir berkata masyarakat kini berdepan persimpangan yang memerlukan pertimbangan antara dua kemudaratan.

Menurutnya, satu pilihan dilihat berisiko meminggirkan agama, bangsa dan falsafah Tanah Melayu, manakala satu lagi berdepan persoalan apabila dikaitkan dengan tindakan menghalalkan kemungkaran.

Bagaimanapun, beliau berpendapat masih terdapat ruang untuk membawa perubahan dari dalam melalui teguran dan usaha membetulkan keadaan.

“Bagi pilihan satu lagi, masih ada ruang untuk membawa perubahan. Menegah dengan tangan, atau melawan dari dalam,” katanya.

Syahir menegaskan penyatuan ummah yang diperjuangkan bukan bertujuan meruntuhkan pihak lain, sebaliknya membuka ruang menghimpunkan kekuatan Melayu-Islam serta mengajak golongan bukan Islam yang sederhana.

“Penyatuan ummah adalah suatu misi, bukan ilusi, bukan juga falasi.

“Penyatuan yang pintunya terbuka, menghimpunkan kekuatan Melayu-Islam, mengajak kalangan bukan Islam yang sederhana,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan mempertahankan kesucian Islam, memelihara kedaulatan negara serta mewujudkan keharmonian dan kestabilan.

Sebelum ini, Hassan Karim menerusi tulisannya mengangkat keadilan, amanah dan demokrasi sebagai nilai teras tiga parti komponen PH, iaitu PKR, Amanah dan DAP.

Hassan turut membandingkan asas perjuangan PH dengan gagasan penyatuan Melayu-Islam yang dibawa Umno dan Pas, selain mempersoalkan hala tuju politik kedua-dua parti itu.

Pertembungan pandangan tersebut memperlihatkan perbezaan pendekatan antara perjuangan berasaskan nilai yang diketengahkan Hassan dengan gagasan penyatuan ummah yang dipertahankan Syahir.

Mengakhiri sajaknya, Syahir menegaskan penyatuan ummah merupakan usaha membina kekuatan, bukannya meruntuhkan pihak lain, sambil menyifatkan rakyat telah pun membuat keputusan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat