Saman Lucut Hak UMNO Ditolak, Pendakwa Gagal Buktikan RM194 Juta Milik 1MDB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini sekali lagi menolak permohonan pendakwaan bagi cubaan menangguhkan keputusan yang sebelum ini menolak saman melucut hak wang RM194 juta terhadap UMNO dan Wanita MCA.

Wang itu disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu kerana didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ada terkait dengan skandal 1MDB.

Selain UMNO dan Wanita MCA, dua lagi pihak terbabit dengan pelucutan hak itu ialah Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan dari kedua-dua pihak hampir dua jam sebelum membuat keputusan untuk menolak permohonan pihak pendakwaan.

Beliau beberapa kali memberitahu Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat bahawa walaupun ada hujah pendakwaan nampak seperti logik namun sebenarnya beliau masih perlu bertindak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Kata Mohamed Zaini dalam penghakimannya, pendakwaan masih tidak dapat membuktikan keseluruhan wang yang cuba dilucut hak itu sebenarnya telah diberikan oleh Najib.

Malah beliau berkata, pendakwaan juga gagal membuktikan UMNO akan gagal membayar atau muflis sehingga tidak dapat membayar RM196 juta seandainya Mahkamah Rayuan memutuskannya.

“Tidak adil untuk membekukan akaun wang pihak-pihak ini untuk sekian lama seandainya bukti pendakwaan yang mendakwa dana itu dari penyewelengan 1MDB tidak dapat dibuktikan.

“Saya dengan ini menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan keputusan mahkamah yang telah menolak saman pelucutan ini,” katanya.

Sebelum ini, pada Februari tahun ini, Mohamed Zaini memutuskan wang UMNO, Wanita MCA yang dibekukan oleh kerajaan dua tahun lalu bukan daripada Najib dan dari 1MDB.

Mohamed Zaini turut menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta Wanita MCA, syarikat pembekal khemah Binsabi Sdn Bhd dan anak syarikat Jakel Trading, Perano Sdn Bhd yang semuanya berjumlah RM1.4 juta.

Mohamed Zaini berkata, beliau meneliti setiap penyata akaun responden dalam tempoh yang relevan seperti dinyatakan dalam permohonan melucut hak itu.

“Saya menyatakan bahawa duit itu (yang didepositkan oleh Najib) sudah lama dibelanjakan dan duit yang tinggal adalah daripada sumber lain.

“Saya berpendapat wang dalam akaun responden yang tinggal tidak boleh dikatakan daripada atau sebahagian sumbangan oleh Najib.

“Pengeluaran wang daripada akaun responden ketika wang itu didepositkan memberikan kewajaran dakwaan responden bahawa ia sudah lama dibelanjakan,” ujarnya.

Kerajaan sebelum ini telah memohon untuk melucut hak wang UMNO berjumlah RM192.965 juta; daripada Wanita MCA berjumlah RM300,000; daripada Binsabi RM827,250; dan daripada Perano RM337,634.78.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, permohonan melucut hak difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

UMNO dan Wanita MCA masing-masing diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh dan Datuk Ben Chan manakala Perano diwakili Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman.

Sementara itu, Tengku Shazuan Tengku Sharifudin serta Muhammad Hasif Hasan mewakili Binsabi.

Ketika ditemui pemberita, kata Mahadi, keputusan hari ini bukan bermaksud UMNO dan lain-lain akan mendapatkan wang berkenaan serta merta sebaliknya beberapa langkah pentadbiran perlu diurus terlebih dahulu. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat