KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti dua model pelesenan platform e-dagang yang meliputi keselamatan dalam talian dan perlindungan pengguna.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata menerusi cadangan itu, MCMC akan memberi tumpuan kepada usaha menangani kemudaratan dalam talian, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengawal selia isu kepenggunaan.
Beliau berkata kajian itu turut mengambil kira penggubalan Rang Undang-Undang E-Dagang oleh KPDN yang dijangka menjelang pertengahan 2027. Kementerian Komunikasi dan MCMC bersedia melaksanakan mekanisme pelesenan sekiranya diperlukan.
Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi penutupan Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian di sini hari ini.
Beliau berkata bengkel yang menghimpunkan lebih 13 platform e-dagang dan beberapa agensi kerajaan itu mencapai persetujuan mengenai garis panduan untuk mengenal pasti barangan dan kandungan yang dilarang di bawah undang-undang sedia ada. Antaranya termasuk dadah berbahaya, senjata api dan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Peserta bengkel turut menyelaraskan jenis maklumat yang perlu disediakan oleh platform kepada agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi membantu siasatan dan tindakan mahkamah, khususnya dalam kes penjualan dadah.
Antara platform yang menyertai bengkel berkenaan ialah Pinduoduo, Temu, Carousell, Facebook Marketplace, Shopee, Lazada, Foodpanda, Grab dan Mudah.my.
Fahmi turut menggalakkan pengendali platform e-dagang menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam menetapkan piawaian keselamatan digital.
Mengenai statistik penguatkuasaan, beliau berkata setiap agensi masih mengumpul data secara berasingan. Perkongsian data antara agensi dijangka membolehkan tindakan terhadap penjualan barangan terlarang diselaraskan dengan lebih baik.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata MCMC boleh mengambil tindakan berhubung penyalahgunaan gelaran doktor di media sosial sekiranya menerima laporan atau maklumat daripada agensi berkaitan, khususnya Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Pengesahan kelayakan dan penggunaan gelaran profesional itu terletak di bawah bidang kuasa badan berkenaan.SUARATV/BERNAMA



