Mana lebih penting bakat atau ‘followers’?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Diakui menjadi antara elemen penting dalam memilih pelakon, namun, faktor jumlah ‘followers’ tidak sepatutnya jadi keutamaan penerbit dan penyiar dalam menawarkan ‘job’ kepada penggiat seni.

Itu antara rumusan dicapai ahli panel program Bicara BH bertajuk ‘Bakat vs Followers – Apa Sudahnya Seni Kita?’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH, hari ini.

Program itu menampilkan ahli panel iaitu pelakon dan pengarah, Sabri Yunus serta pengarah filem Tiga Janda Melawan Dunia, Hyrul Anuar dan bakat baharu, Sharifah Rose yang ditemuramah melalui program kapsul BHTV, Apa Kes diselitkan dalam siaran langsung itu.

Sabri mengaku bukanlah perkara baharu apabila penerbit dan stesen televisyen (TV) cenderung memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut media sosial.

“Keadaan songsang ini sudah lama berlaku dalam industri kita, maksudnya, ia dibawa dari satu pihak ke pihak dan dari masa ke semasa.

“Saya mengaku ketika zaman media sosial sedang memuncak ini, kita tidak menilai bakat secara benar.

“Kita lebih percaya bahawa ‘followers’ tinggi akan memberi penonton yang ramai. Kita lupa apa yang kita lebih perlukan untuk menarik penonton.

 

Hyrul, Sabri dan hos Bicara BH, Sudirman Mohd Tahir sedang mengupas isu Bakat vs ‘Followers’ – Apa Sudahnya Seni Kita? pada siaran langsung semalam. Foto NSTP Rohanis Shukri

 

“Sebenarnya kerja yang disokong dengan bakat dan jalan cerita yang baguslah yang boleh menarik penonton,” katanya.

Sabri berkata, sebenarnya ada banyak kayu pengukur untuk memilih pelakon.

“Namun, kalau jumlah ‘followers’ dikatakan menjadi kayu ukur, kita boleh lihat bukti menerusi beberapa filem di mana ‘followers’ bukanlah penentu utama, sebaliknya, kandungan dihasilkan,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon yang popular dengan watak Pok Ya Cong Codei itu, tidak menolak faktor jumlah ‘followers’ media sosial menjadi antara elemen penting, namun, bukanlah utama.

“Ia bukanlah tidak penting, tetapi bukan keutamaan. Bagi seseorang pelakon yang mempunyai ‘followers’, ambil peluang ini untuk betul-betul belajar.

“Sebagai abang yang lebih tua, saya nasihatkan jangan jadi macam pokok segera yang ditanam di tepi jalan, sebaliknya, jadilah pokok yang membesar dari akar.

“Sebab kita kena sedar, yang mana boleh pertahankan kita, bakat atau ‘followers’? Perkara yang mana akan terus bersama kita?

“Teroka diri dengan bakat yang kita ada. Janganlah hanya hendak ‘followers’ yang banyak, mereka teroka dengan perkara yang sensitif.

“Cuba teroka dengan cara yang bijak. Gunakan platform yang ada dengan cara yang betul,” katanya.

Hyrul pula percaya bakat akan menentukan di mana seseorang artis itu bertapak.

“Boleh bersyukur jika ‘followers’ kita banyak, tetapi hanya bonus. Sebagai anak seni, kalau kita tidak menganjakkan diri kita, tidak guna kalau ada ‘followers’ ramai.

“Jadi bagi saya, ‘folllowers’ tidak penting, tetapi bakat nombor satu. Ketika saya dan rakan menulis skrip untuk Tiga Janda Melawan Dunia, saya tahu, saya mahukan pelakon Melayu, bukannya pelakon kacukan.

“Saya mahu pelakon yang dekat dengan audiens kita,” katanya.

Hyrul berkata, Khatijah Tan, Normah Damanhuri dan Raja Azura yang ditampilkan sebagai teraju utama dalam filem Janda Melawan Dunia tidak mempunyai ‘followers’ ramai.

“Namun, kami tahu bagaimana hendak tarik audiens melalui kandungan,” katanya.

Selain itu, Hyrul lebih percaya pelakon berpengalaman seperti itu tidak akan menyusahkan dirinya di lokasi penggambaran.

“Kalau ada pelakon yang tak pandai sangat tapi hendak cuba, bagi saya, ini menyusahkan. Janganlah buat lakonan ini sebagai hobi saya.

“Disebabkan itu, saya pilih pelakon yang saya tahu akan seronok bekerja. Saya percaya mereka akan beri yang terbaik menerusi komitmen maksimum,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Rose berpendapat jumlah pengikut penting terutama dalam dunia selebriti kerana membantu mempromosikan produk dihasilkan.

“Bakat boleh digilap tetapi ‘followers’ ambil masa lebih lama untuk dikumpul. Jadi, bagi saya, ‘followers’ ramai bukan sahaja kelebihan, tetapi penting dalam dunia selebriti.

https://www.tiktok.com/@bharianmy/video/7103411705635556634?is_from_weba…

“Media sosial adalah platform utama untuk pengiklanan. Platform ini membolehkan kita mempromosikan produk lakonan di sesebuah stesen TV.

“Kalau dulu kita ada media yang melakukan promosi, sekarang, sebagai pelakon boleh mempromosikan karya kita sendiri. Jadi, saya fikir, ini adalah salah satu langkah bijak apabila kita meletakkan diri kita dalam media sosial yang menjadi profil kita,” katanya.

Namun, Sharifah Rose berkata, dia sentiasa cuba memperbaiki mutu lakonan dengan menghadiri kelas lakonan dan menimba ilmu bersama pelakon serta pengarah.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat