Lima filem Malaysia terbaik di Asia Tenggara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lima karya garapan sutradara muda iaitu Areel Abu Bakar yang mengarahkan filem Geran; Edmund Yeo (Malu); Emir Ezwan (Roh); Layla Zhuqing Ji (Victim(s)) dan Jacky Yeap (Sometime, Sometime) melakar

sejarah apabila disenaraikan dalam laman web, Asian Movie Pulse sebagai 20 filem terbaik di Asia Tenggara bagi 2020.

Antara kriteria dinilai badan bukan berasaskan keuntungan yang mengetengahkan produk perfileman Asia itu adalah potensi pembikinan dan kualiti karya yang menembusi platform tontonan global seperti festival filem antarabangsa dan penstriman video, dalam setiap filem.

Areel menyifatkan pengiktirafan itu suatu penghargaan besar kepada kru filem Geran yang mengangkat seni silat dan budaya masyarakat Malaysia ke mata dunia.

“Pertamanya, saya bersyukur kerana penghargaan ini tidak lain, memberi makna bahawa orang luar nampak kemampuan kita.

“Disebabkan itu, orang kita perlu lebih banyak menghasilkan filem yang mengangkat seni budaya kita. Jujurnya, saya tidak merasakan filem Geran menarik tapi orang luar menghargainya kerana seni budaya dan warisan yang dipaparkan.

“Alhamdulillah, usaha saya mengangkat seni budaya dan warisan kita iaitu seni silat mendapat perhatian dunia,” katanya kepada BH Online.

 

Filem Geran arahan Areel Abu Bakar mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan dibintangi Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Megat Shahrizal dan koreografer aksi silat, Azlan Komeng.
Filem Geran arahan Areel Abu Bakar mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan dibintangi Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Megat Shahrizal dan koreografer aksi silat, Azlan Komeng.

 

Areel berpandangan pembikin filem tempatan perlu lebih banyak meneroka seni budaya dan warisan serta mengetengahkannya melalui karya.

Selain dapat menonjolkan keaslian karya tempatan, bagi Areel, filem dapat memaparkan keunikan seni budaya dan warisan.

“Saya cuba angkat seni silat kerana saya rasa perlu untuk rakyat mengambil tahu mengenai seni budaya dan warisan kita. Seni silat dilihat makin lama makin mundur. Jadi, saya fikir perlu diketengahkan menerusi filem,” katanya.

Areel berkata, dia menghasilkan Geran dari titik peluh dan bajet sendiri.

“Saya perlu buat sesuatu untuk masyarakat. Saya merasakan tanggungjawab untuk menghasilkan karya yang boleh mengangkat seni budaya.

“Filem kita terlalu banyak meniru filem luar selain tiada inisiatif untuk meneroka seni yang kita ada,” katanya yang menghasilkan Geran pada 2017 selepas sedekad bergelumang dalam dunia filem.

Geran ditayangkan pada 10 Oktober 2019 di Malaysia dan Brunei. Filem ini berkisar keluarga pesilat yang mempertahankan maruah dan hartanah mereka daripada tergadai selepas salah seorang anggota keluarga menghilangkan diri dan menggadai geran tanah kepada lintah darat.

 

Pengarah filem Malu, Edmund Yeo.
Pengarah filem Malu, Edmund Yeo.

 

Filem aksi yang disifatkan sebagai naskhah kerdil oleh Areel, berbeza daripada filem aksi lain. Geran menampilkan pesilat sebenar sebagai pelakon utama dengan sebahagian besar aksi lagak ngeri dilakukan sendiri pelakon.

Ia mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan itu dibintangi Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Megat Shahrizal dan koreografer aksi silat, Azlan Komeng.

Filem aksi persilatan, Geran terbitan Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions itu juga menerima Anugerah Daniel A Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 atas kecemerlangannya dalam filem aksi.

Edmund, 36, yang berada di Jepun ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian yang cukup bermakna.

“Saya sangat berbangga dan terharu. Asian Movie Pulse adalah antara laman penting yang mengetengahkan banyak filem Asia, sejak beberapa tahun lalu. Organisasi ini mengetengahkan banyak filem Malaysia,” katanya.

Edmund berbangga disenaraikan Asian Movie Pulse bersama beberapa pengarah filem hebat dari Asia Tenggara yang dihormati, misalnya Joko Anwar dari Indonesia dan dua pengarah dari Filipina, iaitu Lav Diaz dan Brillante Mendoza.

“Ini memberi semangat kepada saya dan pasukan filem Malu,” katanya.

 

Antara babak dalam filem Malu yang dihasilkan dengan bajet rendah dan jalan cerita ringkas.
Antara babak dalam filem Malu yang dihasilkan dengan bajet rendah dan jalan cerita ringkas.

 

Edmund menyifatkan kejayaan empat filem lain yang disenaraikan bersama 15 judul lain oleh laman web berkenaan sebagai pencapaian memberangsangkan.

“Apabila melihat nama pengarah filem Sometime, Sometime iaitu Jacky, Layla, Areel dan Emir disenaraikan, ia memberi makna kerja keras kami akhirnya dihargai penonton di luar negara.

“Bulan lalu, Malu ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo. Filem ini ditayangkan di pawagam di Jepun dengan kebanyakan di Tokyo dan Osaka selama tiga minggu.

“Tayangan itu akan diteruskan di beberapa bandar yang lain seperti Kyoto, bulan depan. Malu juga ditayangkan di beberapa festival filem di Indonesia dan China. Jujurnya, sangat menyeronokkan apabila penonton Asia dapat menonton Malu di layar perak,” katanya.

Lebih memberi kesan, filem Malu dihasilkan dengan bajet rendah dan jalan cerita ringkas.

Tambah Edmund, ketika menghasilkan Malu, dia tidak pernah menyimpan impian untuk filem berkenaan diiktiraf seumpama itu.

“Saya dan pasukan filem Malu hanya fokus dalam menghasilkan filem baik, yang boleh meraih ramai penonton.

“Kami tidak terlalu memikirkan soal maklum balasnya. Kami beri sepenuh jiwa ketika menghasilkannya. Kami berseronok dalam merealisasikan projek kecil ini.

“Saya amat gembira kami dapat berkongsi keseronokan menerusi filem ini walau di mana sahaja,” katanya.

 

Pengarah filem Roh, Emir Ezwan.
Pengarah filem Roh, Emir Ezwan.

 

Edmund pula yang pernah merangkul trofi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) melalui filem Aqerah pada 2017, berbangga tersenarai menerusi Malu.

Bagi menyiapkan Malu, Edmund terpaksa terbang ke Jepun dua kali pada 2018 semata-mata mahu merakamkan babak musim sejuk di Hokkaido dan menanti beberapa bulan lagi untuk merakam adegan musim luruh di Yokohama.

Filem Malu berkisarkan mengenai hubungan dua beradik terpisah sejak kecil, Hong dan Lan, lakonan MayJune dan Sherlyn Seo.

Sementara itu, Emir terharu dan menyifatkan penghargaan Asian Movie Pulse memberinya semangat untuk terus berkarya.

“Saya gembira apabila ada pihak boleh menerima filem arahan saya dengan baik. Apatah lagi, rasanya, kali pertama filem saya mendapat penghargaan begini, selain disenaraikan di festival filem tempatan.

“Saya tidak ada masalah apabila filem arahan saya kurang mendapat sambutan di Malaysia kerana percaya masing-masing ada cita rasa berbeza,” katanya.

 

Filem Roh dibintangi Namron, Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq dan June Lojong diilhamkan daripada filem klasik Jepun berjudul Onibaba.
Filem Roh dibintangi Namron, Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq dan June Lojong diilhamkan daripada filem klasik Jepun berjudul Onibaba.

 

Roh dibintangi Namron, Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq dan June Lojong. Filem Roh diilhamkan daripada filem klasik Jepun berjudul Onibaba. Ia berkisar keluarga daif iaitu Mak lakonan Farah, Along (Mhia) dan Angah (Harith) didatangi kanak-kanak perempuan yang dianggap bukan sebarangan budak iaitu Adik (Putri Qaseh).

Adik memberi ramalan bahawa apabila bulan mengambang, seluruh ahli keluarga akan mati.

Seorang dukun yang menggelarkan dirinya Tok (June) menjangka malapetaka akan tiba. Datang pula lelaki misteri, Pemburu (Namron) yang bukan saja mencari anaknya yang hilang, sebaliknya, ada tujuan lain.

Roh menyertai pelbagai festival filem antarabangsa antaranya, TOHorror Fantastic Film Festival di Itali; Festival Filem Antarabangsa Singapura; Festival Filem Jogja-NETPAC Asia; Festival Filem Udine Far East dan Festival Filem New York Asia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat