Bukan sahaja positif malah pertumbuhan ekonomi lebih tinggi setiap suku – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi Malaysia bukan sahaja positif setiap suku, malah setiap suku seterusnya lebih tinggi pertumbuhan berbanding suku sebelumnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan demikian merujuk kepada satu kenyataan yang dibuat oleh Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali mengenai kenyataan beliau yang menyentuh pertumbuhan ekonomi negara mengikut sukuan bagi tahun 2023.

Kata Rafizi, komen NoorAzlan di laman Facebook beliau pada 28 November 2023 memberi gambaran seolah-olah Menteri Ekonomi itu memberi fakta yang salah mengenai pertumbuhan ekonomi negara mengikut sukuan.

“Konteks kenyataan saya ialah bagaimana pertumbuhan ekonomi bukan sahaja positif setiap suku, malah suku seterusnya lebih tinggi pertumbuhan berbanding suku sebelumnya.

“Faktanya ialah pertumbuhan dari suku pertama 2023 ke suku ketiga 2023 adalah kali pertama sejak 2016 yang momentum pertumbuhan dari suku ke suku kekal mengukuh (S1: 0.9%, S2: 1.5%, S3: 2.6%).

“Ia adalah petanda baik bahawa bukan sahaja ekonomi semakin pulih, tetapi pemulihan itu berlaku dengan momentum pertumbuhan dari suku ke suku yang begitu baik dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” hurai Rafizi.

Mengulas lanjut beliau ingin memperbetulkan kefahaman orang ramai mengenai konteks kenyataan-kenyataannya mengenai pertumbuhan ekonomi mengikut sukuan.

Menurut Rafizi, sejak 2016, memang ekonomi negara tumbuh dari suku ke suku (kecuali ada krisis kewangan atau ekonomi global).

“Tetapi kadar pertumbuhan ini berbeza-beza dari satu suku ke satu suku. Lazimnya, jika ada pertumbuhan ekonomi dalam suku 1, walaupun ekonomi terus berkembang di suku 2 atau 3, kadar pertumbuhan itu lebih rendah dari suku sebelumnya.

“Pada tahun 2016, suku pertama berkembang 0.9%, suku kedua pertumbuhan lebih baik pada 1.3%, tetapi momentum pertumbuhan sukuan tidak dapat dikekalkan pada suku ketiga 2016 (merendah ke 1.1%).

“Walaupun ekonomi berkembang dalam ketiga-tiga suku tetapi momentum pertumbuhan menjadi lebih perlahan selepas dua suku.Begitulah keadaan pertumbuhan ekonomi kita sejak 2016, sehinggalah tahun 2023,” jelas beliau lanjut.

Pun begitu, beliau mengalu-alukan pandangan dan kupasan semua pihak.

“Saya berharap konteks sebenar pertumbuhan ekonomi negara turut dikongsi dengan rakyat agar kita dapat mengekalkan sentimen ekonomi yang positif.

“Negara memerlukan sentimen ekonomi yang positif ini dalam keadaan kita berdepan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat