Generasi muda wajar hargai Tun Razak sebagai idola pemimpin unggul – Aaron

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Kewibawaan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang membawa agenda pembangunan negara dan mewujudkan perpaduan nasional wajar dicontohi oleh golongan muda.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata demikian dalam ucap utamanya dalam Program Kepimpinan Tun Razak Edisi ke-29 di Hotel IDEAS, Jalan Raja Laut pada Isnin.

Aaron berkata, Tun Razak begitu bijaksana mencungkil bakat-bakat muda sebagai pemimpin antaranya Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Allahyarham Tun Hanif Omar, Tan Sri Thong Yaw Hong dan beberapa pemimpin lain.

Usaha gigihnya bersama pemimpin lain, maka terbinalah institusi FELDA, Petronas, MARA, Tabung Haji, MIDA, MIDF, MISC, FAMA, PERNAS, FIMA, UDA, LPN, LPP, FELCRA, RISDA, Bank Bumiputera, Bank Pertanian, UKM, UiTM dan Perbadanan Kemajuan Negeri.

Menurut Aaron, golongan belia merupakan tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan bangsa dan negara serta pelapis kepimpinan malah paling aktif dalam masyarakat.

Sejak merdeka, mereka memainkan peranan kepada proses pembinaan dan pembangunan negara dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya atau pendidikan.

Menurutnya, usaha -usaha hendaklah ditumpukan kepada peningkatan keupayaan dan kecekapan para belia memandangkan cabaran masa hadapan akan ditempuh dan memerlukan persediaan diri yang hebat.

Setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, pemimpin negara dari pelbagai kaum telah memikirkan formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental.

Lantas, Tun Razak yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika itu telah menubuhkan Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara (MPN).

Maka, lahirlah Rukun Negara yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 yang menjadi panduan rakyat Malaysia ke arah pemupukan, pengukuhan semangat perpaduan, ketaatan serta kecintaan kepada bangsa dan negara.

“Selain itu, menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat seperti nilai keagamaan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, kepatuhan kepada Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta membentuk masyarakat yang mengamalkan kesopanan dan kesusilaan.

Bagi tujuan menerapkan perpaduan, Kementerian Perpaduan Negara (KPN)
mewujudkan Dasar Perpaduan Negara (DPN) untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat, ”katanya.

“Tunjang kepada teras dan strategi DPN ialah Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Sejarah dan semangat di sebaliknya perlu dihayati dan diamalkan oleh semua lapisan masyarakat dan menjadi asas kepada semua dasar kerajaan.

DPN juga dibangunkan selaras dengan matlamat yang digariskan di bawah Malaysia Madani 2030 bagi mewujudkan sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah, ”katanya lagi.

Ujarnya, KPN sentiasa memberikan penekanan kepada penghayatan nilai-nilai atau falsafah Rukun Negara kepada generasi muda.

Peluncuran Explorasi Rukun Negara pada tahun lepas sebagai pendekatkan awal untuk mendekatkan rakyat Malaysia dengan nilai-nilai murni Rukun Negara.

Tahun ini, kementeriannya melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan mengerakkan beberapa program dan inisiatif bagi meningkatkan penghayatan terhadap Rukun Negara.

Antaranya, Jelajah Belia Rukun Negara, Konvensyen Sekretariat Rukun Negara dan Pemberian Geran Aktiviti RM 3,000 kepada sekretariat Rukun Negara.

Selain itu, Kem Anak Malaysia dan Simposium Pendidikan Rukun Negara peringkat prasekolah.

“KPN akan meneliti cadangan untuk mewujudkan satu Pelan Tindakan Penghayatan dan Pendidikan Rukun Negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Komunikasi.

Pelajar yang terpilih dalam program ini diharap terus berada dalam ekosistem perpaduan yang disediakan oleh KPM menerusi agensinya dan menjadi ejen perpaduan dalam menyebarkan nilai kebersamaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebanyak 188 Sekretariat Rukun Negara di seluruh negara antara platform yang disediakan oleh KPN antaranya di peringkat universiti yang melaksanakan program-program penghayatan Rukun Negara.

Program Closing The Gap dan Future Ready di bawah Yayasan Tunku Abdul Rahman yang memberikan penekanan kepada peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran belia.

Selain itu, Sukarelawan Siswa di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa yang berpeluang terlibat dalam misi sukarelawan dan khidmat bakti di kawasan pedalaman, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, Jiran Muda dalam Rukun Tetangga di bawah JPNIN, dapat menyumbang bakti kepada pembangunan komuniti setempat sekaligus menjadi ejen perpaduan di peringkat akar umbi.

Integrasi nasional adalah kunci kestabilan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat malah pemangkin kepada kekuatan bagi menghadapi apa jua cabaran mendatang.

Jatuh bangun rakyat dan negara ini ditentukan sepenuhnya oleh keampuhan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum.

“Justeru perpaduan dalam kalangan rakyat juga bakal menjadi aset dan tonggak utama menjayakan pembentukan masyarakat dan negara Madani sedang diusahakan kerajaan.

Perpaduan adalah aset dan kunci utama kehidupan rakyat, maka perlu ada usaha berterusan dari semua pihak, peranan dan tanggungjawab menyumbang kepada usaha memperkasa nilai dan tahap perpaduan masyarakat, ”tambahnya lagi – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat