KUALA LUMPUR- Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar, kerajaan akan terus mengangkat martabat Felda sebagai kubu kuat program penjanaan ekonomi dan pendapatan orang Melayu.
Jelas Perdana Menteri, ia bukan sahaja tentang perumahan malah soal digital, ilmu dan pendidikan bagi menaikkan lagi mutu Felda.
“Kita (Kerajaan Perpaduan) baru ambil alih kerajaan setahun dan kita telah lakukan sebaiknya (untuk Felda).
“Kita hendak Felda kuat, bila Felda kuat kita hendak kerajaan dan politik yang kuat dan stabil. Bila politik stabil kita boleh tambah peruntukan. Sekarang imej kita (Kerajaan Perpaduan) baik di mata dunia ,” katanya di Kemaman lapor Utusan.
Anwar berkata, beliau juga akan memberikan keutamaan kepada menyelesaikan isu perumahan generasi kedua dan ketiga Felda.
“Ada orang kata, saya umum tak jalan. Saya umum kemiskinan tegar dari 130,000 keluarga, kini tinggal sekitar 11,000 hingga 12,000. Malaysia negara pertama di dunia berjaya menyelesaikan isu kemiskinan tegar.
“Tandas sekolah, 8,360 tandas sekolah yang dibaiki. Kawasan Felda, kampung, Ketengah, anak kita pergi sekolah tandas tak sempurna, saya lihat dari bawah dan kita selesaikan masalah dari bawah,” katanya.