Bantuan COVID-19, RM114 juta zakat digunakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM114 juta daripada RM536 juta zakat dikutip Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dibelanjakan bagi tujuan membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ia membabitkan dana bernilai RM75 juta yang dibelanjakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai pertengahan Mac lalu.

“Dana bernilai RM38.98 juta digunakan bagi mendepani gelombang ketiga COVID-19 menerusi MAIWP Prihatin 3.0 Kasih Asnaf.

“Kita tidak perlukan fatwa khusus bagi golongan terkesan akibat COVID-19 kerana mana-mana orang terjejas disebabkan pandemik ini dibenar memohon bantuan di pusat zakat seluruh negara.

“Mereka tergolong dalam asnaf yang layak diberi bantuan sebagaimana diamalkan di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi portfolionya di Dewan Rakyat, hari ini.

Zulkifli berkata, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah merancang dan berunding dengan pihak berkuasa negeri bagi penyeragaman beberapa undang-undang syariah di seluruh negara.

Katanya, ia membabitkan undang-undang jenayah syariah, profesion guaman syarie, wakaf, kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam.

“Kerajaan akan meneruskan penubuhan Akademi Latihan Kehakiman Syariah yang akan dijalankan secara ‘ad hoc’ melalui fasiliti sedia ada di Kompleks Islam Putrajaya sehingga peruntukan berkaitan pembinaan bangunan fizikal diluluskan kerajaan.

“Ketika ini, program latihan dikendalikan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) masih diteruskan dan menjurus ke arah penubuhan dan operasi Akademi Latihan Kehakiman Syariah,” katanya.

Mengenai usaha memartabatkan mahkamah syariah, beliau berkata, kerajaan menjalankan penyeragaman undang-undang kehakiman syariah antara negeri melalui JKSM selain usaha pindaan undang-undang sedia ada.

Selain itu, katanya, penyeragaman dilakukan melalui arahan amalan, kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) diguna pakai di seluruh mahkamah syariah.

“Kerajaan sedang memperkasakan mahkamah syariah dengan melihat semua emolumen hakim syarie dan sivil melalui kajian bagi mewujudkan Akta Saraan Hakim Syarie dan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syarie.

“Bagi memperkasa peringkat peningkatan hiraki empat lapisan, usaha masih berterusan dan mendapat pandangan serta persetujuan pihak berkuasa negeri.

“Mahkamah syariah berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja setiap negeri. Insya-Allah kita akan lakukan sebaik mungkin,” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat