KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa ‘menyekolahkan’ Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sekali gus memperbetul fakta tentang pelantikannya sebagai Ketua Penerangan Umno era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak pada 2016.
Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu menasihatkan Asyraf agar bertindak dan bercakap berasaskan fakta sesuai dengan imej dan ilmu yang dimiliki bukannya semberono melempar fitnah dan memburukkan orang lain.
“Kepada Asyraf belajarlah daripada pengalaman-pengalaman politik yang lalu, kita daripada keluarga yang baik ada latar belakang akademik yang baik, orang baik-baiklah, jadi kawal diri daripada jangkitan bercakap bohong.
“Nasihat saya kepada Asyraf, jangan kerana nak kejar kedudukan kita membodek, menjilat, kita tak berani nak bezakan yang mana kebenaran yang mana fitnah akhirnya kita masuk dalam gerombolan yang sama padahal kita orang baik-baik tapi kita biarkan diri kita jadi balaci yang suka bercakap mengarut, cakap tak ada fakta ataupun jadikandiri kita fanatik kepada kumpulan kerana kita duduk dalam kumpulan itu, kita mengiyakan.
“Kepada Asyraf dah duduk jadi Setiausaha Agung Umno tu jagalah baik-baik jangan umno makin rosak, makin rosak kerana perangai pemimpin dalam Umno yang asyik nak bercakap bohong saja, politik kebencian, memburukkan orang, cuba duduk dan fokus cari jalan bagaimana nak pulihkan Umno supaya diyakini oleh oleh rakyat dan rakyat tak yakin dengan Umno kalau terus-menerus berbohong daripada Presiden sampai ke anak buah berbohong saja kerjanya,” bidas Annuar dalam video di akaun TikToknya.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu tampil memperjelas kronologi pelantikan beliau sebagai Ketua Penerangan Umno pada 2016, ini sebagai maklum balas kepada audio siar Asyraf yang mendakwa Annuar menghentam Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Timbalan Presiden Umno.
Kata Asyraf dalam petikan audio siar itu, “Annuar Musa hentam Muhyiddin susulan kritikan keras berkait 1MDB, lepas Muhyiddin dipecat Najib angkat Annuar sebagai Ketua Penerangan walaupun hakikatnya pada waktu itu dia dah nyawa-nyawa ikan inilah manusia yang boleh berubah-ubah”.
“Aduhai Asyraf, saya nak beri nasihat kepada anakanda Datuk Asyraf yang sekarang ini Setiausaha Agung Umno jadi saya tak faham apa yang cuba nak disampaikan dengan membuat naratif tentang pelantikan saya sebagai Ketua Penerangan Umno daripada temuramah beliau.
“Asyraf, apabila kita bercakap sesuatu kita kena pastikan fakta yang kita bercakap itu tidak kemudiannya nanti disanggah, ia akan menjejaskan kredibiliti kita sebagai orang politik yang berada pada satu kedudukan yang tinggi sebagai Setiausaha Agung Umno.
“Isu pelantikan saya sebagai Ketua Penerangan naratif yang Asyraf cuba lontarkan pada orang ramai mungkin dengan niat nak tanam kebencian kepada saya atau nak meremehkan kewibawaan saya, fakta kena betul daripada gambaran Asyraf dia katakan kerana saya menghentam Muhyiddin dalam Mesyuarat MT sampai satu jam maka selepas itu saya pun dilantik kerana kuat menghentam Muhyiddin lah.
“Cuba ingat balik saya dilantik bulan berapa, Muhyiddin dipecat bulan berapa? Muhyiddin dipecat daripada Umno pada bulan 29 Jun 2016, waktu itu saya dah 6 bulan jadi Ketua Penerangan Umno, saya dilantik bulan Januari 2016 macam mana Asyraf boleh kata lepas saya hentam Muhyiddin maka saya dilantik,” kata Annuar.
Tambah Annuar lagi, Asyraf bahkan berkata beliau sudah di penghujung karier politik, sedangkan beliau ketika itu ahli Parlimen, juga pengerusi agensi kerajaan, aktivis, ketua bahagian.
“Dia gambarkan saya waktu itu tak laku, jadi kerana berani hentam Muhyiddin maka dapatlah hadiah sebagai Ketua Penerangan itu naratif yang dia cuba lontarkan.
“Saya diminta untuk terima jawatan ketua penerangan tak ada kaitan dengan soal Muhyiddin waktu itu Datuk Seri Salleh Said Keruak datang jumpa saya bersama kawan rapat Najib dan dia cerita masalah bagaimana kerajaan dan parti berdepan masalah untuk menyampaikan mesej-mesej dan membetulkan serangan-serangan orang terhadap parti dan Najib waktu itu isu GST, 1MDB.
“Saya dipujuk kukuhkan jentera perang Najib, mulanya saya tolak, saya selesa dah dengan apa yang saya ada.
“Lepas jumpa lagi saya fikir Umno dan Najib dalam keadaan diserang kiri kanan waktu itu jentera parti macam tak begitu kuat untuk mempertahankan Najib dengan pelbagai naratif jadi atas rasa tanggungjwab kepada parti, Umno yang sedang memerintah jadi saya terima dan Muhyiddin masih timbalan presiden waktu itu dan 6 bulan kemudian baru Muhyiddin dipecat pada bulan Jun 2016,” jelas Annuar.