Muhyiddin Dan Kabinetnya ‘Angkuh’ Terhadap Titah Agong, Sila Letak Jawatan, Desak Mohamad Sabu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam jelas mempamerkan “keangkuhan” Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya terhadap titah Yang di-Pertuan Agong,” kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Justeru katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet Perikatan Nasional (PN) perlu segera letak jawatan.

Ini susulan kenyataan Pejabat PMO semalam yang mempertahan keputusan untuk tidak membatalkan Ordinan Darurat menerusi undian di Parlimen.

“Amanah menuntut Muhyiddin untuk bertanggungjawab terhadap tindakan penderhakaan Yang Di-Pertuan Agong dan atas segala kecurangan jemaah menteri terhadap keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan institusi Parlimen.

“Oleh itu, Amanah menuntut Muhyiddin dan seluruh anggota Kabinetnya untuk letak jawatan serta-merta dan memohon sembah ampun daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad membangkitkan kenyataan PMO semalam yang antara lain mempertahankan keputusan Muhyiddin sebagai teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Negara.

“Muhyiddin dan Kabinetnya cuba menegakkan benang yang basah dengan mendakwa mereka menjalankan tugas dengan teratur dalam soal pembatalan Ordinan Darurat yang menjadi pertikaian sekarang.

“Kenyataan (PMO) membayangkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak memahami keadaan sebenarnya dan tersilap apabila menyatakan baginda amat dukacita dengan tindakan jemaah menteri.

“Ia seterusnya cuba menyalahkan pembangkang pula seolah-olah kami semua menimbulkan kekeliruan dalam persoalan ini,” ujar lagi.

Merujuk kenyataan Istana Negara semalam antara lain berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun tidak membawa isu pembatalan Ordinan Darurat untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, seperti yang diperkenankan Sultan Abdullah.

Kata Istana Negara lagi, Sultan Abdullah “amat dukacita” dan menyifatkan permohonan pembatalan Ordinan Darurat dilakukan secara tergesa-gesa dan kenyataan berkenaannya yang bercanggah di Parlimen buka saja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang, tetapi membelakangi fungsi dan kuasa baginda selaku Ketua Umum Negara.

Mengulas hal itu, ahli jawatankuasa Biro Undang-undang Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim menyangkal kenyataan PMO semalam bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

“Pendirian PMO bahawa Agong tertakluk sepenuhnya untuk mengikut nasihat jemaah menteri adalah jelas tersasar sama sekali dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa di bawah prinsip Perlembagaan, Agong hanya akan mengikut nasihat jemaah menteri hanya apabila nasihat yang diberikan itu adalah selari dengan kehendak Perlembagaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat