KUALA LUMPUR,— Malaysia memanfaatkan penyertaan dalam Kongres Perlombongan Sedunia (WMC) 2026 di Lima, Peru bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan strategik dalam sektor mineral kritikal dan rantaian bekalan serantau ASEAN.
Delegasi Malaysia diketuai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, bersama wakil Kerajaan Sabah, Sarawak serta pemain industri perlombongan negara.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam kenyataan berkata, penglibatan Malaysia dalam kongres itu bertujuan menonjolkan potensi sektor mineral domestik yang berdaya saing, mapan dan berorientasikan masa hadapan bagi menyokong agenda peralihan tenaga global.
Menurut kenyataan itu, platform antarabangsa tersebut turut dimanfaatkan untuk meneroka peluang pelaburan baharu, memperkukuh pemindahan teknologi serta menjalin kerjasama strategik dengan rakan industri global, khususnya dalam pembangunan industri pemprosesan hiliran dan mineral kritikal.
Sebagai sebahagian lawatan kerja itu, Arthur turut mengadakan mesyuarat dua hala rasmi bersama Menteri Tenaga dan Perlombongan Peru, H.E. Waldir Eloy Ayasta Mechan.
Perbincangan kedua-dua pihak tertumpu kepada pengukuhan tadbir urus mineral, kerjasama penyelidikan geosains, pemerkasaan standard Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan industri mineral yang mampan.
Arthur berkata, pasaran mineral global kini menuntut anjakan strategik yang seimbang antara eksplorasi sumber dan tanggungjawab kelestarian.
“Sesi libat urus dua hala bersama rakan sejawat dari Peru mencerminkan satu anjakan penting dalam usaha membina rantaian bekalan mineral yang lebih berdaya tahan dan berintegriti tinggi.
“Malaysia dan Peru berkongsi visi yang sama untuk memposisikan sektor mineral sebagai pemacu utama ekonomi moden, khususnya melalui aplikasi amalan terbaik, inovasi teknologi dan tadbir urus korporat yang mantap,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama industri dan institusi yang lebih erat antara kedua-dua negara dijangka membuka peluang pertumbuhan baharu yang mapan serta memberi impak ekonomi signifikan.
Dalam masa sama, kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi kerjasama mineral ASEAN bagi tahun 2026 meletakkan negara pada kedudukan strategik sebagai gerbang pelaburan utama rantau Amerika Latin ke pasaran Asia Tenggara.
Dengan pasaran melebihi 680 juta penduduk, ASEAN dilihat menawarkan potensi besar dalam rantaian bekalan tenaga bersih, teknologi pembuatan termaju dan pembangunan infrastruktur mapan.
Kementerian itu berkata, Forum Pelaburan Mineral ASEAN yang dijadual berlangsung pada Oktober 2026 pula akan menjadi platform komersial utama untuk mempertemukan penggubal dasar, pelabur global dan peneraju industri korporat.
Lawatan kerja itu turut bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-Peru, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha memperbaharui komitmen kedua-dua negara dalam merangsang kerjasama ekonomi dua hala berimpak tinggi, khususnya dalam industri sumber asli.



