Hamzah berisiko hilang status Ahli Parlimen – Peguam

KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Shamsuddin Nawawi berpandangan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berisiko kehilangan statusnya sebagai Ahli Parlimen sekiranya beliau menyertai Parti Wawasan Negara yang dikaitkan dengan kumpulan bekas pemimpin Bersatu.

Menurut beliau, kedudukan Hamzah selepas dipecat daripada Bersatu perlu dilihat dalam konteks peruntukan Akta Anti Lompat Parti yang berkuat kuasa ketika ini.

Shamsuddin berkata, Hamzah pada asalnya bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 atas tiket Perikatan Nasional (PN) sebagai calon Bersatu sebelum kemudiannya dipecat daripada parti tersebut.

“Dari Bersatu dia bertanding atas tiket Parti Perikatan Nasional. Kemudian dia dipecat dari Bersatu tapi dia dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang.

“Apabila dipecat dari partinya dia tidak hilang kerusi MP-nya tetapi dia adalah MP Bebas,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau turut mendakwa tiada bukti yang menunjukkan Hamzah menjadi ahli PN secara individu atau menyertai mana-mana parti komponen lain dalam gabungan tersebut selepas pemecatannya daripada Bersatu.

“Tiada bukti dia adalah ahli Perikatan Nasional secara ahli bergabung yakni ahli individu atau melalui parti anggota lain,” katanya.

Shamsuddin mengulas senarai kepimpinan Parti Wawasan Negara yang tular sejak semalam dan menamakan Hamzah sebagai Presiden parti tersebut.

Menurut beliau, sekiranya Hamzah kini berstatus Ahli Parlimen Bebas, penyertaan ke dalam sebuah parti politik baharu boleh menimbulkan persoalan dari sudut perundangan.

“Sebagai MP Bebas dia tidak boleh lompat ke parti lain. Itu lompat parti. Lompat parti kerusi MP kosong,” katanya.

Terdahulu, Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan mengesahkan parti itu telah meluluskan penjenamaan semula kepada Parti Wawasan Negara dalam satu mesyuarat khas yang diadakan semalam.

Senarai kepimpinan yang tular turut meletakkan Hamzah sebagai Presiden, Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebagai Setiausaha Agung parti berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini belum terdapat penjelasan rasmi daripada Hamzah berhubung status keahliannya dalam Parti Wawasan Negara serta implikasinya terhadap kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Larut.

Isu berkenaan dijangka terus menjadi perhatian susulan perdebatan mengenai tafsiran peruntukan Akta Anti Lompat Parti dan kedudukan wakil rakyat yang dipecat daripada parti asal tetapi kekal memegang kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat