MP UMNO sila jarakkan diri, jangan terheret krisis kerajaan dan istana- Mohamad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tegas menyatakan kesetiaan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada Raja, negara dan parti.

Justeru beliau memberi amaran kepada semua Ahli Parlimen UMNO supaya menjarakkan diri daripada terheret ke dalam krisis antara kerajaan dengan istana.

“Mereka tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran istana kerana ia adalah institusi yang UMNO telah berikrar akan taat dan pertahankan.

“Justeru, saya menyeru kebijaksaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari dengan pendirian parti.

“Tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan Kerajaan yang telah dilihat nyata ingkar, culas dan gagal dalam melaksanakan titah dan nasihat Yang Di Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negara.

“Kesetiaan kepada kerajaan PN, tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada Raja, negara dan parti,” tegas Mohamad dalam kenyataannya pada Jumaat.

Menurut ADUN Rantau itu lagi, pilihan wakil rakyat UMNO adalah jelas kecuali mereka memilih sebaliknya, pada saat negara dan rakyat telah hilang segala keyakinan kepada kerajaan PN.

Mohamad berkata, pendirian rasmi UMNO telah pun dinyatakan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Kata beliau, semua ahli dan pendokong setia parti, walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat mereka di dalam dan di luar kerajaan, wajib akur dan patuh terhadap pendirian tersebut.

“Pendirian rasmi UMNO adalah keputusan kolektif parti. Ia selari dengan suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO, dan telah diperhalusi dan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi 7 Julai yang lalu.

“Susulan pencerahan dari Istana Negara semalam, maka bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti.

“Kerajaan telah jelas membelakangkan institusi diraja, melakukan tindakan tidak berpelembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia.

“Jawapan balas kerajaan terhadap kenyataan Istana Negara malam tadi pula telah mengusutkan lagi keadaan.

“Kenyataan tersebut telah menjuruskan Malaysia ke suatu krisis Perlembagaan yang serius,” tegas beliau.

Menurut Mohamad, sikap kerajaan jelas angkuh dan tiada kesusilaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Saya selalu berpesan agar kita (UMNO) selalu bermuhasabah dan sentiasa sedar dan arif tentang asal-usul kita. Jangan hingga jadi seperti kata pepatah, “diberi berkuku, hendak mencengkam”,” ujar beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat