Hamzah rakam penghargaan kepada PN terima Parti Wawasan Negara sebagai ahli gabungan

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin merakamkan penghargaan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) atas keputusan menerima Parti Wawasan Negara sebagai parti anggota baharu gabungan tersebut.

Dalam kenyataan media hari ini, Hamzah memaklumkan Mesyuarat Khas Perwakilan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang berlangsung pada 20 Jun lalu telah sebulat suara meluluskan penjenamaan semula parti itu kepada Parti Wawasan Negara.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju penjenamaan semula dengan Wawasan Negara dipilih sebagai nama baharu parti,” katanya.

Beliau berkata, penerimaan Parti Wawasan Negara ke dalam PN membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada parti berkenaan, malah kepada usaha memperkukuhkan gabungan pembangkang itu sebagai alternatif yang diyakini rakyat.

Menurut Hamzah, penyertaan parti tersebut dijangka menambah kekuatan sedia ada PN khususnya dalam memperjuangkan agenda perubahan yang berteraskan kompetensi, integriti dan kestabilan.

“Keputusan ini membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada Wawasan Negara, malah kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional selaku gabungan yang semakin diyakini rakyat untuk memimpin Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Parti Wawasan Negara sebagai sebuah parti yang membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang serta percaya masa depan negara perlu dibina melalui kerjasama, kesederhanaan dan komitmen terhadap kepentingan nasional.

Hamzah berkata, parti itu berhasrat menjadi jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat kepada PN sekali gus memperluaskan sokongan terhadap gabungan berkenaan.

“Kami hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan sedia mentadbir,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengumumkan penerimaan Parti Wawasan Negara sebagai parti komponen baharu gabungan tersebut bersama kemasukan Parti Pejuang Tanah Air yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Parti Wawasan Negara merupakan penjenamaan semula PCM yang baru-baru ini mengadakan mesyuarat perwakilan khas bagi meluluskan pertukaran nama dan kepimpinan baharunya. Hamzah sebelum ini dipilih sebagai Presiden parti berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat