Ammar Haikal pertaruh single sola pertama ‘Gila Bayang’, langkah pertama bina nama sendiri

Penyanyi muda, Ammar Haikal, tampil dengan single solo pertamanya berjudul Gila Bayang, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya sebagai penyanyi rakaman.

Single tersebut dilancarkan secara rasmi dalam sebuah majlis khas yang berlangsung di XO House Sdn. Bhd., Sungai Buloh, Selangor pada 19 Jun lalu. Majlis berkenaan turut dihadiri peminat, rakan media serta jemputan khas bagi meraikan detik penting dalam perjalanan seni penyanyi muda itu.

Menurut pihak pengurusan, pelancaran single tersebut bukan sahaja penting buat Ammar, malah turut menjadi simbol kejayaan program pembangunan bakat yang dijalankan syarikat itu. Ammar merupakan antara bakat yang diketengahkan menerusi program dalaman selepas terlebih dahulu dikenali melalui program pencarian bakat luar.

“Ammar adalah pemenang pertama program dalaman kami dan dia menjadi penanda aras kepada generasi baharu yang akan lahir menerusi program tersebut. Sebab itu kami mahu memberikan yang terbaik dan menunjukkan komitmen untuk terus menyumbang kepada industri muzik tempatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamdi, turut menyifatkan pelancaran single debut Ammar sebagai antara pencapaian penting syarikat dalam melahirkan bakat baharu tempatan.

“Saya sangat gembira dan berbangga melihat perjalanan Ammar Haikal. Bermula sebagai Juara XO CAMP! Musim Pertama, hari ini beliau melancarkan single debutnya sendiri. Ini merupakan antara matlamat utama kami di XO House, iaitu melahirkan generasi baharu bakat tempatan dan memberi peluang kepada mereka untuk membina kerjaya dalam industri muzik,” katanya.

Dalam menghasilkan Gila Bayang, pihak pengurusan tidak hanya melihat kepada populariti seseorang artis, sebaliknya menilai kesungguhan dan potensi yang ditunjukkan. Sambutan awal terhadap teaser lagu itu di media sosial menjadi antara faktor yang meyakinkan mereka untuk memberikan pelaburan lebih besar terhadap projek berkenaan.

Lebih menggembirakan, teaser Gila Bayang menerima sambutan luar biasa apabila mencetuskan fenomena awal di TikTok dengan lebih 60,000 video ciptaan pengguna sebelum pelancarannya secara rasmi.

Bercerita mengenai pemilihan lagu tersebut, Ammar mengakui dia terus jatuh hati sebaik sahaja mendengarnya buat kali pertama.

“Daripada banyak lagu yang diperdengarkan kepada saya, Gila Bayang adalah lagu yang paling melekat di hati. Bila dengar sahaja, saya terus rasa saya mahukan lagu itu,” katanya.

Lagu berentak pop moden itu mengangkat kisah cinta yang tidak kesampaian serta perasaan terperangkap dalam bayangan seseorang yang sukar dilupakan. Menggabungkan elemen pop moden dengan lirik yang penuh emosi, lagu tersebut membawa pendengar menyelami perjalanan seseorang yang menyimpan harapan untuk membina masa depan bersama insan tercinta, namun akhirnya kecewa apabila menyedari dirinya bukan satu-satunya pilihan.

Lagu itu turut dipilih bagi menonjolkan karakter Ammar yang ceria dan muda, selain memperkenalkan identitinya sebagai penyanyi generasi baharu. Menurut pihak produksi, imej dan pembawaan Ammar sangat sesuai dengan genre tersebut, sekali gus menjadi kelebihan yang perlu dimanfaatkan.

“Pada mulanya kami tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. Saya hanya mahu memperkenalkan diri kepada orang ramai. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat positif dan saya berterima kasih kepada semua yang menggunakan lagu ini di TikTok,” ujar Ammar.

Mengakui terinspirasi dengan muzik penyanyi antarabangsa, The Weeknd, Ammar berkata dia mahu membina identiti sebagai penyanyi pop terlebih dahulu sebelum meneroka genre lain pada masa akan datang.

“Buat masa ini saya mahu orang mengenali saya sebagai penyanyi pop. Namun pada masa depan saya juga mahu mencabar diri dengan lagu balada dan genre lain,” katanya.

Sebagai seorang pelajar, Ammar mengakui proses rakaman lagu itu turut hadir dengan pelbagai cabaran, terutama dalam membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya seni.

“Saya masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Kadang-kadang selepas habis kelas, saya terus ke pejabat untuk sesi rakaman dan pulang lewat malam. Cabaran terbesar adalah pengurusan masa,” katanya.

Tambah Ammar, kedua-dua ibu bapanya sentiasa memberi sokongan terhadap minatnya dalam bidang muzik, namun tetap meletakkan syarat supaya dia mengutamakan pendidikan.

“Syarat mereka jelas, saya perlu menghabiskan pengajian sehingga peringkat ijazah terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang nyanyian,” katanya.

Menyentuh mengenai statusnya sebagai ‘nepo baby’ kerana merupakan anak kepada penyanyi terkenal, Ammar melihat perkara itu sebagai satu peluang dan bukannya beban.

“Saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang negatif. Ia membantu orang mengenali saya dengan lebih cepat. Namun saya tetap mahu membina nama sendiri dan dikenali sebagai Ammar Haikal, bukan semata-mata sebagai anak kepada penyanyi terkenal,” jelasnya.

Muzik video Gila Bayang turut mencuri perhatian apabila menampilkan bapa Ammar sendiri iaitu penyanyi popular, Ameng Spring, selain penyanyi dan personaliti media sosial, Alyssa Dezek, yang memegang watak utama bersama Ammar. Gabungan istimewa itu dijangka memberi daya tarikan tersendiri kepada muzik video berkenaan serta melengkapkan penceritaan lagu tersebut.

Dari segi pembikinan, Gila Bayang merupakan hasil ciptaan Naim Daniel, Adib Hamdi dan Amir Firdaus, yang turut bertanggungjawab menulis lirik lagu berkenaan. Lagu tersebut diterbitkan oleh Adib Hamdi, manakala susunan muzik pula dilakukan oleh Amir Firdaus di bawah penerbitan XO House Publishing.

Mengenai perancangan masa depan, pihak pengurusan menyasarkan penghasilan beberapa lagi single sebelum merealisasikan impian menghasilkan album mini atau album penuh.

“Kami berharap dapat mengeluarkan sekurang-kurangnya dua lagi lagu tahun ini. Jika semuanya berjalan lancar, kami menyasarkan album mini atau album penuh sekitar suku kedua tahun hadapan,” katanya.

Dengan pelancaran Gila Bayang, Ammar Haikal kini bersedia mengorak langkah lebih jauh dalam industri muzik tempatan sambil membina tapak dan identitinya sendiri sebagai penyanyi generasi baharu.

Kredit Lagu
• Judul: Gila Bayang
• Penyanyi: Ammar Haikal
• Komposer: Naim Daniel, Adib Hamdi & Amir Firdaus
• Penulis Lirik: Naim Daniel, Adib Hamdi & Amir Firdaus
• Penerbit Muzik: Adib Hamdi & Amir Firdaus
• Penyusun Muzik: Amir Firdaus
• Penerbitan: XO House Publishing
“Gila Bayang” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat