Tun M tak setuju ditemu bual individu berkepentingan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan beliau sedia memberi kerjasama untuk sebarang prosiding atau temu bual jika jawatankuasa itu terdiri daripada individu tidak berkepentingan.

Tegas beliau, permintaan itu adalah hak dirinya bersandarkan undang-undang.

“Saya sedia beri kerjasama untuk apa-apa prosiding atau temu bual jika Jawatankuasa itu terdiri dari individu tidak berkepentingan.

“Ini hak saya menurut undang-undang.

“Saya berasa lebih kecewa bila ada Menteri Undang-Undang yang masih tidak faham asas undang-undang, lebih-lebih lagi dalam isu membabitkan kedaulatan Negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, beliau dimaklumkan kenyataan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar tentang bantahan beliau terhadap Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance yang diketuai Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Kenyataan Menteri itu tidak tepat sama sekali dan mengelirukan. Ianya seolah- olah saya tidak memberikan kerjasama kepada sesi temu bual itu.

“Saya hanya dimaklumkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri secara bertulis tentang Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance ini ditubuhkan dibawah Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh (Pasukan Petugas Khas) melalui surat bertarikh 19 Mei 2022. Melalui surat tersebut, saya diminta menghadiri sesi temu bual pada tarikh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa tersebut.

“Melalui surat bertarikh 23 Mei 2022, saya telah rekodkan bantahan saya tentang pelantikan Apandi sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas tersebut memandangkan ada konflik berkepentingan setelah perkhidmatannya tidak lagi dilanjutkan oleh saya pada masa saya menjadi Perdana Menteri Ketujuh,” jelas beliau.

Tambahan daripada itu, katanya dalam isu Pulau Batu Puteh, Apandi telah secara terbuka mengkritik keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan saya sebagai Perdana Menteri kerana mengambil keputusan tidak merayu keputusan ICJ.

“Dia merupakan petitioner/pengadu kepada kes ini dan melantiknya mengetuai badan ini bertentangan dengan “rule of law” dan “natural justice” yang menyatakan secara jelas “no man shall be the Judge of his own cause”.

“Tentunya Menteri Undang-Undang dan Apandi khususnya faham soal kedudukannya jika dia benar orang yang terpelajar dalam hal perundangan dan rule of law. Dia ini mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan mantan Peguam Negara. Apandi seharusnya kekal sebagai petitioner/pengadu atau meminta atau diminta menjadi saksi,” bidas Mahathir.

Katanya, bantahan beliau tidak dihiraukan sebaliknya diminta hadir untuk sesi temu bual yang dijadualkan semula pada 28 Jun 2022 di mana Jawatankuasa memaklumkan penemubual yang dilantik adalah Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan YM Datuk Tengku Ahmad Fuad Bin Tengku Ahmad Burhanuddin.

“Sekali lagi secara bertulis pada 21 Jun 2022, saya memohon ketetapan berkenaan kedudukan Apandi kerana beliau sewajarnya menjadi saksi atau individu yang dipanggil untuk ditemu bual.

“Pada masa yang sama saya juga membantah kedudukan penemubual Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang merupakan peguam kepada Tan Sri Mohamed Apandi Ali di dalam kes beliau menyaman Kerajaan Malaysia dan saya berkaitan penamatan jawatan beliau sebagai Peguam Negara.

“Sekali lagi tiada jawapan kepada permohonan ketetapan dan bantahan saya tersebut. Bantahan-bantahan dibuat setelah saya terima nasihat perundangan dari peguam-peguam yang mewakili saya. Saya memelihara hak saya menurut undang-undang,” tegas Ahli Parlimen Langkawi itu.

Katanya, tidak timbul isu bantahan pada saat akhir.

“Sebaliknya, bantahan saya ini tidak pernah dijawab sehingga semalam dan alasan yang diberikan oleh Menteri Undang-Undang kononnya saya lewat membangkitkan bantahan. Tidakkah Menteri Undang-Undang dimaklum mengenai bantahan-bantahan awal saya? Soal beliau.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara berkaitan kedudukan Mohamed Apandi sebagai Pengerusi PPK seharusnya dibangkitkan lebih awal sebelum pelantikan dibuat kerajaan.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menyingkirkan Mohamed Apandi tanpa sebarang justifikasi.

Tambahnya, adalah mustahil untuk dirinya bertindak sewenang-wenangnya mengeluarkan Mohamed Apandi sebagai Pengerusi apabila Jemaah Menteri yang membuat keputusan berkaitan pelantikan berkenaan.

Pada Selasa, Dr Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan sesi temu bual saksi bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara susulan isu pelantikan Mohamed Apandi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat