Muzikal Upin & Ipin jelajah dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Besar perancangan Les’ Copaque Production Sdn Bhd sebaik projek Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! membuka tirai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, September depan.

Mengikut perancangan, teater muzikal itu akan menjelajah Singapura, Indonesia dan Brunei. Lebih jauh, syarikat berkenaan merancang membawa pementasan itu ke Jeddah, Arab Saudi dan London, United Kingdom (UK).

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata sudah menjadi impiannya , isteri dan kakitangan untuk menjadikan produksi teater muzikal itu gah dan dibawa ke seluruh dunia.

“Sehubungan itu, kami pentaskan teater muzikal ini dengan bantuan pengurus bersama dari Singapura.

“Selepas persembahan di Dewan Plenari, KLCC selama dua hari mulai 3 September, kami bawa teater muzikal ini ke Stadium Tertutup Singapura, Disember hadapan.

“Kemudian, kami akan pastikan teater muzikal ini dibawa ke Indonesia, awal tahun hadapan. Kami belum dapat tarikh, namun, merancang pementasan pada awal 2023.

“Selepas itu, kita rancang bawa pementasan ini ke Jeddah dan London,” katanya pada sidang media Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! di ibu negara, kelmarin.

Burhanuddin berkata, langkah membawa teater muzikal Upin & Ipin ke destinasi antarabangsa selaras usaha mendedahkan jenama tempatan ke pasaran animasi dunia seperti dicapai Walt Disney.

“Jarang berlaku pertunjukan di Malaysia boleh pergi merata negara. Selalunya di Kuala Lumpur sahaja. Kali ini, kami reka khas pertunjukan ini untuk dibawa ke luar negara.

“Semuanya dilakukan pekerja saya yang begitu kreatif. Teater muzikal ini dicipta dan digubah sepenuhnya oleh anak-anak saya di Les’ Copaque.

“Ini bermakna, produksi ini 100 peratus karya tempatan,” katanya.

 

Teater muzikal Upin & Ipin akan menjelajah Singapura, Indonesia dan Brunei, lebih jauh, merancang membawa pementasan ke Jeddah serta London. -NSTP/Fariz Iswadi Ismail

 

Burhanuddin berkata, Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! dipentaskan susulan sambutan menggalakkan yang diterima ketika Teater Muzikal Upin & Ipin dipertontonkan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 2012.

“Kali terakhir kita anjurkan teater muzikal adalah 10 tahun lalu di IB. Pementasan itu berjaya dengan 30 slot pertunjukan sebulan.

“Malah, persembahan itu diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBR). Kali ini, kami kembali di bawah sutradara sama, Siti Rohaya Atan,” katanya.

Teater muzikal terbaharu ini menampilkan pengisian berbeza dengan lakonan dan aksi kostum Upin dan Ipin serta kawan-kawan dalam pengembaraan dunia penuh magik, Pin Pin Pom!.

Teater muzikal ini akan menggunakan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, efek pencahayaan serta LED skin bagi memberikan impak luar biasa kepada pementasan.

Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! berdurasi lebih sejam dan padat dengan aksi mendebarkan dan mencuit hati disulami muzik.

Lagu yang bakal dipersembahkan adalah dendangan popular Upin & Ipin seperti Gembira Bermain dan beberapa single baharu seperti lagu Upin & Ipin Berani dan Pin Pin Pom!.

Teater ini akan menampilkan beberapa watak baharu watak Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan.

Teater muzikal ini dibangun dan diurus bersama Les’ Copaque Production dengan Ssyarikat Star Fotress Sdn Bhd.

Pementasan di Dewan Plenari, KLCC terbahagi kepada tiga slot sehari iaitu 11 pagi, 3 petang dan 8.15 malam.

Tiket dengan potongan harga 10 peratus boleh dibeli di laman web Trip.com mulai 15 Jun hingga 14 Julai ini.

Mulai 15 Julai, tiket dijual mengikut harga asal melalui laman web My.BookMyShow.com.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat