Ada Pihak Tertentu Pengaruh Izhar Keluar Parti : PN Johor

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Ada pihak-pihak tertentu yang cuba menyediakan naratif berhubung tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad keluar parti, dakwa Ketua Penerangan Perikatan Nasional Johor, Mohd Solihan Badri.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, yang juga bekas ADUN Tenang itu berkata, naratif itu disediakan parti politik tertentu, untuk menjejaskan kewibawaan serta imej Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, kata Mohd Solihan lagi, tindakan Mohd Izhar tidak memberi kesan kepada Bersatu, melainkan ia sekadar memenuhi kehendak pihak yang mempengaruhinya berbuat demikian, untuk melemahkan parti tersebut.“Bersatu Johor juga menyifatkan alasan Mohd Izhar keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga tidak berasas, sebaliknya kerana beliau menganggap Perikatan Nasional akan tewas dalam PRN Johor, sekali gus kehilangan jawatan Exco dan lantikan ahli Lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.

“Justeru, Mohd Izhar beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka, walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin mahupun bertanding di mana-mana DUN lain pada PRN Johor kali ini,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Mohd Izhar mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu atas alasan hilang kepercayaan kepada Presiden parti.

Mohd Izhar mendakwa, Muhyiddin tidak berusaha untuk memulihkan perpecahan Bersatu selepas berpisah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Serentak keputusan itu, Mohd Izhar menyeru kepada pengundi Johor untuk memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) Johor pimpinan Datuk Hasni Mohammad.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan berkata, tindakan dan maksud semua alasan yang didakwa ADUN Larkin itu tidak dapat difahami.

Apatah lagi beliau merupakan seorang Ahli Exco Kerajaan Negeri yang boleh menegur dan memperbaiki keadaan, jika benar Bersatu didakwa hilang hala tuju serta gagal meneruskan agendanya.

Malah, kata Mohd Solihan lagi, lebih mengelirukan apabila Mohd Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan Exco yang berkhidmat dalam Kerajaan Negeri, berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI), sedangkan beliau adalah wakil Bersatu, iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal.

“Beliau juga silap besar apabila mendakwa Muhyiddin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar Bersatu dan menubuhkan parti Pejuang.

“Ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan dan melaksanakan pelbagai tindakan untuk kesejahteraan rakyat termasuk melaksanakan inisiatif membendung pandemik COVID-19.

“Selain itu Tan Sri juga menjayakan Pelan Pemulihan Negara selain menyalurkan pelbagai bantuan rakyat dan komuniti perniagaan yang rentan, serta menghapuskan hutang peneroka Felda dan menyusun semula Tabung Gaji,” kata Mohd Solihan lagi.

ASTRO AWANI

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat