UMNO Tidak Tawarkan Sebarang Habuan Kepada Dua Adun Bersatu Keluar Parti

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: UMNO tidak menawarkan sebarang habuan atau ganjaran kepada dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Johor yang bertindak keluar daripada parti itu, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua individu berkenaan yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor untuk menyertai UMNO.

“Tidak ada sebarang habuan yang dijanjikan, mereka dengan sukarela dan suci hati keluar daripada Bersatu tanpa kami janjikan apa-apa, itu adalah kehendak mereka sendiri.

Bagaimanapun, atas sokongan mereka kepada Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) dan Barisan Nasional (BN) kami ucapkan terima kasih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S. Thanenthiran.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya sama ada dua bekas ADUN Bersatu berkenaan ada membuat permohonan untuk menyertai UMNO atau sebaliknya selepas mereka mengumumkan keluar daripada parti.

Pada Khamis lepas, bekas ADUN Puteri Wangsa Mazlan Bujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Semalam, bekas ADUN Larkin Datuk Mohd Izhar Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas mengenai PAS dan Bersatu akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional (PN), Ahmad berkata perkara itu bukan sesuatu yang memeranjatkan dan ia sudah dijangka.

“Kelihatan mereka ingin mengulangi apa yang berlaku di Melaka, jadi dalam dinamika politik, kita memang bersedia menghadapi segala kemungkinan. Sebelum ini kita tidaklah kata kerjasama Muafakat Nasional (MN) sudah muktamad, tetapi apabila semalam PAS bersama Bersatu dalam PN, saya tidak nampak ruang (kerjasama).

“Mereka (PAS) sebenarnya yang memulakan langkah itu. Saya pernah menyebut bahawa belum ada muktamad kita dengan PAS sebelum-sebelum ini, tapi kelihatannya mereka yang memuktamadkan bukan daripada pihak kita. Apa-apapun kita kena terus gigih berusaha dan jangan terlampau yakin,” katanya.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Program Muzakarah PAS Bersatu 2022 mengumumkan PAS dan Bersatu akan menyertai PRN Johor sebagai PN dan kesemua parti komponen juga akan menggunakan logo PN pada pilihan raya itu.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat