Oleh: Ahmad Soffian Mohd Shariff
Di dalam tulisan sebelum ini, penulis pernah menyarankan kepada Kerajaan Malaysia di bawah Perikatan Nasional untuk memperkasakan lagi pembangunan wanita di Malaysia. Tulisan beberapa minggu lepas itu telah menggariskan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional agar golongan wanita di Malaysia tidak terus dipinggirkan dalam setiap agenda pembangunan negara.
Tempoh hari dikhabarkan parti yang menjadi ketua kepada gagasan Perikatan Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah melancarkan Biro Srikandi Muda. Organisasi mirip Puteri UMNO dan Srikandi Keadilan ini adalah sebuah biro yang dikhususkan untuk golongan wanita muda bagi menyertai parti politik tersebut. Selain itu, tiada perkembangan baharu ataupun insiatif tertentu yang dilaksanakan oleh Perikatan Nasional dalam isu-isu berkaitan wanita, khususnya penyertaan golongan ini dalam politik dan pentadbiran di Malaysia.
Kita faham YB Rina Harun yang merupakan Ketua Srikandi PPBM (sayap wanita parti tersebut) dan juga Ketua Wanita Perikatan Nasional, bukanlah seorang yang berpengalaman di dalam memperjuangkan agenda atau isu-isu wanita di Malaysia. Untuk menjadi ketua bagi sayap terpenting sesebuah parti ataupun gagasan politik parti pemerintah, ada perlunya seseorang yang lebih berpengalaman dipilih untuk menggalas tanggungjawab yang besar itu.
Jika kita lihat sebelum ini semasa Barisan Nasional memegang tampuk pemerintahan negara, para pemimpin sayap wanita gagasan parti politik tersebut membawa isu-isu besar yang memberikan impak positif kepada negara. Mengambil contoh, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Wanita UMNO & Barisan Nasional sebelum ini telah membawa pelbagai isu penting, antaranya adalah seperti kes pembuangan bayi yang meningkat, isu pendidikan, keganasan rumah tangga dan banyak lagi.
Antara insiatif yang diperkenalkan oleh Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil semasa menjadi Menteri Wanita Malaysia yang dikenali sebagai “Baby Hatch” masih lagi wujud sehingga kini, telah menyelamatkan ratusan nyawa bayi yang tidak berdosa sekaligus mengurangkan kes kematian akibat pembuangan bayi di negara ini.
Jika dibandingkan dengan kerajaan Pakatan Harapan sedikit masa dahulu, ternyata mereka lebih progresif, dinamik dan peka berbanding dengan apa yang sedang dilakukan oleh Perikatan Nasional pada ketika ini. Ya, mungkin banyak perkara yang dilakukan oleh Pakatan Harapan tidak menjadi dan akhirnya dilihat gagal oleh sebilangan besar rakyat Malaysia, namun dari segi pemberdayaan wanita, Pakatan Harapan telah berjaya mengangkat pelbagai isu dan bertindak dengan proaktif dalam melaksanakan inisiatif tertentu bagi meningkatkan martabat wanita di Malaysia.
Sebagai contoh, pada ketika YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin menjadi Ketua Wanita Pakatan Harapan Malaysia, kita telah melihat gabungan parti politik tersebut memperjuangkan isu-isu penting seperti kuota 30% penyertaan wanita di dalam politik dan pentadbiran, KWSP untuk wanita, isu perkahwinan bawah umur dan bermacam lagi.
Mengambil contoh isu perkahwinan bawah umur, disebabkan penerangan dan perbincangan berterusan yang dilakukan oleh Wanita Pakatan Harapan pada ketika itu, Negeri Selangor Darul Ehsan telah menjadi negeri pertama yang meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 bagi menaikkan had umur minimum perkahwinan.
Pengiktirafan yang tinggi juga telah diberikan kepada YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, apabila beliau telah diangkat oleh Women Political Leaders (WPL) sebuah organisasi politik antarabangsa yang dianggotai oleh pemimpin wanita dunia untuk menjadi wakil mereka di Malaysia. WPL adalah organisasi yang dianggotai oleh semua pemimpin wanita dunia seperti Canselor Jerman Angela Merkel, Helen Clark (Mantan Perdana Menteri New Zealand), Rosalia Arteaga (Mantan Presiden Ecuador) dan ramai lagi.
Malah, sebelum memegang tampuk pemerintahan lagi, semasa Pakatan Rakyat merupakan wadah perjuangan utama blok pembangkang pada ketika itu, pimpinan wanita Pakatan Rakyat yang juga di bawah kelolaan YB Zuraida Kamaruddin telah banyak memperjuangkan isu-isu wanita sehingga berjaya diselesaikan.
Isu seperti penganiayaan terhadap wanita Penan di Sarawak dan usaha untuk membela seorang guru sandaran, Noorfadilla Ahmad Saikin yang telah didiskriminasi kerana beliau memohon kerja semasa mengandung, merupakan antara insiden bersejarah yang membuktikan komitmen mereka dalam memperjuangkan nasib wanita di Malaysia.
Dua nama yang saya sebutkan di sini adalah contoh sahaja, kerana ramai lagi pemimpin politik wanita terdahulu seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman, Tan Sri Aishah Ghani, Dato Seri Azalina Othman dan lain-lain telah pun membuktikan mereka mampu memperjuangkan isu-isu berkaitan wanita di pentas nasional.
Secara tuntasnya, jika kita lihat keadaan semasa pada ketika ini, Perikatan Nasional amat memerlukan seorang pemimpin wanita yang mampu membawa isu-isu semasa wanita untuk diselesaikan. Pada ketika ini, kita tidak lagi memerlukan pemimpin yang hanya boleh beretorik dengan membaca skrip ucapan sahaja. Kini, kita memerlukan pemimpin wanita yang tahu dan faham apa yang perlu dilakukan demi kemajuan golongan wanita negara ini, yang jumlah mereka hampir separuh daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
Mungkin sudah tiba masanya Perikatan Nasional lebih peka kepada para pemimpin yang mereka angkat untuk dijadikan peneraju kepada sesuatu sayap gagasan parti politik mereka. Sudah-sudahlah kerajaan pada ketika ini dikritik hebat oleh isu-isu pokok yang melibatkan periuk nasi rakyat. Jika diangkat lagi mereka yang terlalu “hijau” untuk berkhidmat, maka yang kedengaran adalah saranan-saranan daripada “suara Doremon” menjadi viral, sekaligus menyukarkan rakyat Malaysia untuk mempercayai kerajaan sedia ada.