Jadual Piala Sumbangsih kekal, MFL tolak permohonan Selangor FC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Di sebalik beberapa insiden ‘keganasan’ membabitkan pemain Liga Malaysia (Liga M) termasuklah pemain Selangor FC (SFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara dua pasukan itu akan tetap diteruskan mengikut jadual.

Perkembangan itu disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi satu kenyataan, hari ini sekali gus menyaksikan pertembungan antara dua pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini akan tetap dilangsungkan meskipun SFC meminta aksi itu ditunda ke tarikh baharu.

Malah, badan pengendali itu turut menjelaskan bukan setakat aksi Piala Sumbangsih malah semua aksi yang dijadual berlangsung pada minggu pertama akan dijalankan mengikut jadual ditetapkan.

“Jaminan keselamatan kepada pemain dan penyokong bagi Perlawanan Sumbangsih di antara JDT dan SFC di SSI sudah diberikan oleh Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar yang mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas.

“Ini termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan hari ini turut menyatakan bahawa persediaan keselamatan pegawai dan anggota polis akan dipertingkatkan.

“Dengan jaminan keselamatan oleh pihak polis, MFL terpaksa menolak permohonan SFC untuk menangguhkan perlawanan itu atas faktor kebimbangan mengenai tahap keselamatan pasukan,” kata MFL.

Dalam kenyataan sama, MFL turut menyatakan rasa simpati dan kesal di atas insiden yang menimpa tiga pemain iaitu, Akhyar Rashid (Terengganu FC), Faisal Halim (SFC) dan Safiq Rahim (JDT).

“MFL mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan ke atas mana-mana pemain dan berharap kes ini dapat disiasat secara terperinci oleh pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.

“MFL tidak pernah berkompromi dalam memastikan keselamatan pemain serta penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia menerusi kerjasama pasukan dan pihak berkuasa tempatan.

“Justeru pihak MFL sudah mengadakan mesyuarat bersama semua ketua pegawai keselamatan kelab Liga M hari ini bagi memastikan koordinasi keselamatan bagi setiap perlawanan Liga Malaysia musim ini dipertingkatkan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat