Oleh: Zihan Zari
PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, letusan semula Gunung Berapi Ruang, di Sulawesi Utara pada 4.40 pagi, 30 April lalu, tidak menjejaskan kualiti udara di Malaysia.
Dalam kenyataannya, asap debu letusan gunung berapi itu, tidak memberi kesan ketara kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) stesen-stesen pengawasan kualiti udara di Malaysia.
Menurutnya, tiada peningkatan bacaan pencemar pepejal terampai (PM2.5 & PM10), sulfur Dioksida (SO2), Nitrogen Dioksida (NO2), Ozon (O3) dan Karbon Monoksida (CO) yang berpunca daripada asap debu letusan direkodkan.
Katanya, IPU yang direkodkan di laman web JAS, jam 11 pagi, 2 Mei lalu menunjukkan 35 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 29 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
“Hanya satu stesen mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu di Stesen Rompin, Pahang disebabkan oleh kebakaran setempat,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya akan terus memantau bacaan IPU dari masa ke semasa dan terkini setiap jam dan ianya boleh dirujuk di laman web http://apims.doe.gov.my/ atau memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di Google Play.