Jangan biarkan politik kebencian membantut kemajuan Sabah – Rahman Dahlan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pembangunan Sabah dan kebajikan serta masa depan rakyat Sabah tidak boleh diletakkan dalam tangan satu kategori parti politik sahaja.

Justeru, Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, gabungan parti tempatan dan parti nasional (yang berakar umbi tempatan) adalah yang terbaik kerana ia dapat memenuhi harapan dan aspirasi semua pihak.

Ujarnya, gabungan ini akan memberi kelebihan kerana setiap parti ada kekuatan dan kepakarannya.

“Semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa kerjasama antara BN dan PH dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah dimuktamadkan. Ini berita yang kita alu-alukan.

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan BN dan PH untuk bekerjasama dengan GRS dalam pilihan raya negeri akan datang. Beliau juga memaklumkan bahawa ada perjumpaan tidak rasmi beliau dengan pemimpin utama GRS baru-baru ini untuk membincangkan semua kemungkinan. Ini juga kita alu-alukan.

“Saya percaya inilah gabungan atau kerjasama politik yang paling strategik untuk memenangi pilihan raya Sabah yang bakal diadakan.
Setelah pilihan raya negeri Sabah berakhir, BN perlu terus berada dalam kerajaan negeri bersama GRS dan PH untuk memastikan
BN dapat menyumbang khidmat kepada masa depan rakyat Sabah dan kesejahteraan mereka,” katanya di Instagram, semalam.

Rahman yang juga Ketua Umno Bahagian Tuaran bagaimanapun menegaskan, realitinya landskap politik Sabah begitu unik.

Kata beliau, semua parti politik di Sabah sentiasa berdepan dengan cabaran keunikan ini, lebih-lebih lagi ekoran landskap politik yang tidak ketentuan dan pilihan raya negeri yang tidak lama lagi perlu diadakan.

“Sabah tidak dapat lari dari hakikat bahawa ia masih peru berurusan dengan kerajaan pusat. Semua hak-hak Sabah yang mahu diperjuangkan masih memerlukan rakan dialog iaitu kerajaan pusat.

“Kita tidak mahu ada kekalutan politik yang akan membantut kemajuan perbincangan antara negeri dan pusat (berkaitan hak-hak Sabah) yang sedang berjalan dengan amat baik sekarang.

“Jangan biarkan politik kebencian menjadi penghalang kepada kemajuan perbincangan yang masih berterusan. Masih banyak yang perlu diselesaikan dan percayalah hanya pendekatan politik yang inklusif dan terangkum yang akan menjadikan ia satu realiti.

“Pada masa yang sama, percayalah, perbalahan dan permusuhan politik yang tiada kesudahan akan hanya menyusahkan usaha kita. Sejarah tidak berbohong dalam hal ini,” tegas Rahman lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu mengingatkan, parti tempatan sudah tentu ada kekuatannya tersendiri. Namun jika kekuatan itu digabungkan dengan kekuatan parti nasional (yang bertunjangkan akar umbi tempatan), beliau yakin gabungan seperti inilah yang mampu meleraikan segala kesulitan dan permasalahan dalam pelaksanaan MA63 dan seterusnya memberikan kestabilan politik yang amat didambakan oleh rakyat Sabah.

Hal ini kata Rahman, dengan wujudnya kestabilan politik, lebih senang dan mudah untuk kita membangunkan Sabah termasuk meyakinkan pelabur-pelabur asing.

“Hanya dengan strategi politik yang betul dan tepat oleh semua pihak, barulah satu formula kejayaan dapat dicapai tanpa perlu berdepan dengan risiko besar.

“Adalah penting strategi itu tidak berasaskan emosi atau bersulamkan kemarahan. Biarlah strategi itu berasaskan fakta dan realiti yang akhirnya mewajibkan semua pihak untuk mengambil pendekatan berlapang dada dan berlapang minda.

“Kita semua tahu, Sabah mempunyai kekuatan yang cukup besar untuk menjadi wilayah penting di rantau ini. Kedudukan geografi yang strategik, sumber asli yang berbagai dan rakyat yang kuat dan rajin bekerja, semua ini adalah formula ramuan penting untuk menjadikan Sabah sebuah wilayah yang berpotensi.

“Maka itu, adalah penting untuk kita bekerjasama antara satu sama lain demi masa depan Sabah yang kita cintai ini. Marilah kita doakan agar Sabah dan rakyatnya mendapat kerahmatan Allah SWT dan terus maju dan makmur sepanjang masa. Sesungguhnya dekad ke hadapan yang
bermula pada tahun 2025 bakal menjanjikan masa depan Sabah yang lebih gilang gemilang daripada sebelumnya,” ujar Rahman.

Pada 27 Okt lalu, Zahid memaklumkan BN dan PH telah memuktamad kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung tahun depan.

Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, persetujuan antara BN dan PH itu menjadi asas kepada kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah.

Zahid juga berkata, bagi parti lain, rundingan terperinci akan diadakan apabila tiba masanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah negeri itu akan bekerjasama dengan BN-PH pada PRN berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat