Oleh Zihan Zari
BANGI – Karnival Liga Sukan Uniti (LSU) peringkat kebangsaan 2024 mendapat sambutan memberangsangkan dengan tarikan hampir 23,000 orang peserta pelbagai keturunan dan etnik daripada 2,300 buah pasukan di seluruh negara.
Sukan salah satu medium penyatuan pelbagai etnik yang paling berkesan kerana rakyat Malaysia secara umumnya amat sinonim dengan semangat kesukanan yang tinggi dalam masyarakat.
Karnival LSU anjuran Kementerian Perpaduan Negara mewujudkan satu platform bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata demikian sempena majlis perasmian karnival LSU Peringkat Kebangsaan 2024 di Uptown Sports, dekat sini pada Sabtu
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menterinya, Senator Saraswathy Kandasami, yang merasmikan karnival tersebut bagi pihaknya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Ahmad.
Aaron berkata, LSU mula dilaksanakan pada 2022 oleh KPN dengan kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan pada tahun ini di peringkat negeri dijalankan pada September dan Oktober, telah menjadi satu platform yang sangat berjaya.
Beliau berkata, sehingga kini, jumlah penyertaan di peringkat negeri dan kebangsaan melebihi 2,300 buah pasukan dengan anggaran seramai 23,000 peserta dari seluruh negara.
“Kejohanan ini telah menetapkan syarat penyertaan pasukan daripada kaum yang berbeza bagi membolehkan setiap pemain dapat bergaul agar dapat memahami, menghormati dan menerima setiap perbezaan yang wujud di antara kita.
“Selain itu, buat kali pertama pada tahun ini, LSU telah diperluaskan penyertaannya kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah,”katanya.
“Dengan sambutan yang menggalakkan ini, kementerian akan memberi pertimbangan agar sukan tradisional dan sukan rakyat turut di masukkan dalam LSU pada tahun hadapan.
“Demi menyokong aspirasi perpaduan, sukan adalah antara unsur yang dilihat sebagai medium penyatuan pelbagai etnik yang paling berkesan di Malaysia,”katanya.
“Rakyat Malaysia secara umumnya amat sinonim dengan semangat kesukanan yang tinggi dalam masyarakat, justeru penyertaan pelbagai pasukan sudah tentu memberikan pengiktirafan kepada pasukan yang beraksi cemerlang di peringkat yang lebih tinggi.
“LSU juga mewujudkan satu platform untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama,”ujarnya.
“Sentiasa kita beringat pada pepatah ‘Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh’
“Semangat tinggi dalam sukan ini diharap dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian agar perpaduan rakyat dan keharmonian terus terpelihara dan kebersamaan rakyat.
“Ianya adalah kunci kejayaan negara dan penentu dalam mengukuhkan tempat di persada dunia, ”ujarnya lagi.
Menerusi kenyataan KPN memaklumkan, sebanyak tiga jenis sukan dipertandingkan selama dua hari karnival ini berlangsung iaitu Bola Jaring, Badminton dan Futsal.
“Pelbagai pengisian menarik turut diadakan seperti pameran Rumah Kami (Rumah Etnik), FoodUnites dan pertandingan sukan tradisional serta persembahan daripada artis-artis terkenal tanah air, ”tambahnya.
“LSU kali ini dianjurkan bersama-sama rakan-rakan strategik badan sukan utama negara seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Selain itu, Radio ERA sebagai penyampai radio strategik, rakan penaja, Felet Sdn. Bhd, Ariz Group, Raqtive Sdn. Bhd., Khaf dan Wardah, ”tambah kenyataan itu – SUARA.TV