Tempoh Perbaharui Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan Dilanjutkan

- Advertisement -

BATU PAHAT – Tempoh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dilanjutkan sehingga 30 September ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh berkenaan kerana memahami keperluan dan masalah rakyat pada masa kini.

“Kementerian Pengangkutan sentiasa memahami keperluan orang ramai dan akan terus memainkan peranan sebagai sebuah kementerian yang prihatin lebih-lebih lagi pada waktu sukar ketika ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Mesra Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan di Dewan Komuniti Ayer Hitam di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Beliau berkata, lanjutan itu selaras dengan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga 31 Disember depan.

Sementara itu Ka Siong berkata, diskaun 70 peratus pembayaran saman kerana LMM dan LKM tamat tempoh juga bakal dilanjutkan untuk tempoh sama.

“Menurut data terdapat 300,000 individu yang disenarai hitam kerana tidak membayar tunggakan saman atas kesalahan LMM dan LKM tamat tempoh.

“Ada yang mengadu kerana tidak mampu membayar saman sama ada RM150 hingga RM300 yang dikenakan.

“Ada yang tak boleh bekerja sebagai penghantar makanan atau pemandu e-hailing yang wajib memiliki lesen LKM dan LMM sah, maka saya mengambil keputusan melanjutkan tempoh ini,” katanya.

Katanya, keputusan itu selaras dengan kuasa Menteri di bawah Seksyen 66(1)(x) dan 127(1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Ka Siong berkata, bagaimanapun lanjutan itu tidak terpakai bagi mereka yang memang tamat tempoh lesen LMM dan LKM sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu. – UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat