PN Tukar Fikiran, Undi 18 Akan Dilaksanakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun sedang diusahakan agar ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, perkara itu dibincang dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam (28 April).

“Kerajaan komited untuk melaksanakan Undi 18 sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

“Susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan perkara teknikal.

“Ia termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata ketika itu, pihaknya perlu realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebelum ini, pada pada Julai 2019, pindaan perlembagaan mengenai kelayakan mengundi pada usia 18 tahun mendapat sokongan penuh ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 atau mana-mana pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.

“Kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard, selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini,” jelasnya.

Mac lalu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kelayakan mengundi pada pilihan raya umum di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Menurutnya, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama. Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan (di seluruh negara).

“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan terdedah dengan tempoh masa yang lama.

“Setelah melihat situasi yang sebenar, undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat