Pelajar IPT Dibenar Pulang Cuti Raya Bermula 7 Mei Kecuali Sarawak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Aidilfitri kecuali Sarawak bermula 7 Mei ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan menjelaskan, ia hanya melibatkan pergerakan kira-kira 103,994 penuntut yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.

Bagaimanapun katanya, mereka diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau mahu kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

Kebenaran itu selaras dengan kelonggaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini kepada sektor pendidikan dan ia dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan semalam.

“Kementerian menetapkan beberapa mekanisme kawalan yang mana pergerakan penuntut di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka terkawal.

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing masing ialah pada 7 hingga 12 Mei, manakala pergerakan kembali ke kampus ialah pada 15 hingga 20 Mei.

“Pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap penuntut,” katanya.

Kementerian berkenaan menjelaskan, pergerakan pulang menerusi tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

Katanya, pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

Jelasnya, kumpulan yang dibenarkan pulang itu terdiri daripada enam kategori penuntut untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

“Penuntut dan ibu bapa boleh merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) pergerakan penuntut IPT pulang sempena cuti perayaan Aidilfitri dan dokumen soalan lazim yang disediakan melalui portal rasmi kementerian di www.mohe.gov.my.

“Mereka yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau bilik gerakan kementerian di talian 03-88706777/6949/6623/6628. Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat