Had Masa Masuk Untuk Tangani Isu Kenderaan Berat Di Kuala Lumpur – Timbalan Menteri

CYBERJAYA: Dalam menangani isu kenderaan berat di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaludin Alias, telah mengambil langkah seperti menghadkan masa masuk ke pusat bandaraya pada 2 waktu puncak iaitu antara pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 petang.

Jalaludin berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Razali Bin Idris di Dewan Negara pagi tadi.

Bagi memastikan larangan tersebut di patuhi, DBKL kata beliau telah melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:-

1. Memaparkan masa larangan masuk kenderaan berat pada paparan Variable Message Sign (VMS) yang terdapat di jalan-jalan masuk utama Kuala Lumpur.

2. Meletakkan notis awam yang lebih visible di lokasi-lokasi yang strategik di jalanjalan masuk utama.

Larangan ini dikuatkuasakan bersama rakan-rakan strategik DBKL iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan ini, mereka boleh dikenakan notis kompaun mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997. Dari tahun 2020 sehingga Mac 2022, sebanyak 2,189 notis kompaun telah dikeluarkan, tambah Jalaludin lagi.

Operasi penguatkuasaan akan dilakukan dari masa ke semasa oleh pihak DBKL dan agensi-agensi penguatkuasa untuk memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang telah diberikan bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi bandar raya yang selamat.