Kluster Mata Pelajaran, KPM Perkenal Kaedah Baru Pengambilan Guru Secara ‘One Off’

Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Dr. Radzi Jidin. Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran bagi pengambilan guru secara one-off.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kaedah ini dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan untuk memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

Menurutnya, kementerian telah mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM.

“Dalam aspek kriteria pemilihan pula, keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan daripada universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara untuk dilantik secara tetap.

“Selain daripada itu, calon juga perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, memenuhi padanan Kluster Mata Pelajaran dan berjaya dalam temu duga SPP,” katanya dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.

Selain itu beliau berkata, temu duga tersebut menilai kompetensi umum seperti sikap, penampilan diri, pengetahuan am dan kompetensi fungsional seperti kandungan mata pelajaran dan pedagogi.

Tambahnya lagi, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melaksanakan urusan pelantikan dan tawaran pelantikan telah diumumkan secara berperingkat.

“Sehingga kini, seramai 13,770 orang calon telah berjaya ditawarkan lantikan tetap sebagai PPP DG41 oleh SPP.

“Sehingga 28 Mac lalu pula, seramai 13,255 guru baharu berjaya ditempatkan ke seluruh negara, manakala baki 515 lagi akan ditempatkan mulai 11 April ini.

“Berdasarkan status terkini, masih terdapat 4,932 kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi oleh calon yang layak,” katanya.