‘Malaysia Boleh’ Ucapan Penghargaan Dr Mahathir Kepada Doktor-Doktor Merawatnya

KUALA LUMPUR – Slogan ‘Malaysia Boleh’ kembali bergema apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan penghargaan kepada doktor-doktor pakar Institut Jantung Negara (IJN) dan pakar-pakar perubatan jemputan lain yang merawat beliau semasa sedang bertarung nyawa baru-baru ini.

Sebagai tanda terima kasih dan menghargai jasa baik doktor-doktor yang merawatnya, Dr Mahathir menganjurkan majlis kesyukuran dan penyampaian sijil penghargaan kepada 22 orang doktor dan kakitangan sokongan IJN di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya, semalam.

“Saya tak tahu macam mana nak ucap terima kasih kepada doktor-doktor pakar IJN dan pakar-pakar perubatan jemputan lain yang merawat saya semasa saya sakit.

“Saya benar-benar percaya masa saya sudah sampai hayat saya tetapi entah macam mana doktor-doktor dapat pulihkan kesihatan saya. Bagi saya ini adalah satu keajaiban, saya tak jangka akan pulih kerana sudah tua dan berdepan penyakit yang serius membabitkan jantung, paru-paru dan juga buah pinggang.

“Tetapi dengan kepakaran doktor-doktor ini saya pulih, walaupun tidak 100 peratus tetapi kesihatan ini sudah cukup untuk saya kembali jalani hidup dan melakukan kerja serba sedikit malah saya tak perlu terbang ke luar negara untuk dapatkan rawatan,” ucap bekas Perdana Menteri itu.

Mengimbas zaman beliau menjadi doktor dulu, Dr Mahathir memberitahu doktor Melayu pada awalnya tidak diberi kepercayaan untuk menjalankan rawatan malah sekadar pembantu perubatan.

“Di Malaysia ini sudah ada pakar-pakar yang boleh merawat kes amat serius seperti saya ini.Dulu masa zaman saya jadi doktor, doktor Asia terutamanya Melayu tidak diberikan kepercayaan untuk merawat tetapi sekarang saya percaya sepenuhnya yang kita boleh buat apa yang orang lain buat.

“Dulu saya pernah inspirasikan ‘Malaysia Boleh’ ya memang kita boleh. Masa pertama kali kena serangan jantung dulu, saya nak dibedah di sini (Hospital Kuala Lumpur) dan ia berjaya.

“Doktor-doktor di Malaysia ini kompeten dan perlu yakin diri bahawa kita boleh buat apa yang orang lain boleh buat.

“Saya dan isteri mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua doktor dan kakitangan lain yang meluangkan masa yang lamauntuk merawat saya dan berjaya memulihkan kesihatan saya dan hari ini saya berpeluang berucap di depan anda semua. Kalau boleh saya nak bagi USD100 setiap doktor tapi akan dicaj sebagai rasuah pula, oleh itu saya bagi sijil penghargaan” seloroh beliau.

“Saya tak tahu doktor pernah terima sijil penghargaan sebelum ini, tapi biarlah saya jadi pesakit pertama yang memberi sijil penghargaan kepada doktor yang merawat saya,” kata beliau.