KUALA LUMPUR – Dalam kesengsaraan dan keperitan hidup mangsa banjir, masih ada pihak yang mengambil kesempatan apabila polis memaklumkan menerima maklumat berhubung tindakan beberapa individu yang dipercayai ahli sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long.

Ah long dikatakan mula mendekati mangsa-mangsa banjir dan menawarkan pinjaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, walaupun sehingga kini tiada sebarang laporan diterima berhubung perkara ini polis tidak menolak kemungkinan sindiket ini mula mengambil kesempatan ke atas mangsa banjir yang memerlukan kos besar untuk memulakan kehidupan.

Beliau tidak dinafikan semasa fasa pemulihan pasca banjir, ramai mangsa yang terkesan memerlukan sokongan khususnya dari segi kewangan.

“Justeru adalah dinasihatkan kepada semua mangsa banjir yang terbabit supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen ini.

“Pihak polis sentiasa komited untuk memantau dan membanteras kegiatan ah long melalui siasatan dan operasi yang berterusan,” katanya.

Kamarudin berkata siasatan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Kanun Keseksaan dan lain-lain akta berkaitan akan dilaksanakan sekiranya terdapat laporan berhubung aktiviti jenayah ini.

“Orang ramai diminta untuk terus membantu pihak polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersil kepada pihak polis.

“Maklumat boleh disalurkan kepada saluran “CCID Scam Response Center di talian 03-26101559, 03-26101599 atau melalui aplikasi ‘Whatsapp CCID Infoline’ di talian 013-2111222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.