Kestabilan Jangan Sekadar Slogan

- Advertisement -

KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menolak tanggapan banyak pihak bahawa pertandingan tiga penjuru dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mengundang kekalahan BN.

BN menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala PH hanya berjaya memenangi lima kerusi. PN yang tidak diberi harapan langsung berjaya mencuri dua kerusi.

Kemenangan 21 kerusi itu adalah majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan baharu di Melaka, sekali gus menepati manifesto parti itu – ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.

Namun, sangat membimbangkan di sebalik janji mewujudkan kestabilan politik, kemenangan itu turut menaikkan ego sebahagian pemimpin UMNO yang mendesak diadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin.

Dari segi pentadbiran dan kestabilan politik, tiada langsung keperluan mengadakan PRU dalam masa terdekat.

Kerajaan hari ini dipimpin UMNO dengan sokongan parti komponen BN, PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah berjaya meluluskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022 tanpa sebarang cabaran sengit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah mengadakan memorandum persefahaman dengan parti-parti pembangkang untuk mengekalkan kestabilan politik sehingga Julai 2022.

Malaysia belum pulih daripada pandemik. PRN Melaka dan Sarawak berlangsung dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana tiada pilihan.

Hasilnya, di Melaka kita dapati pilihan raya tidak lagi menjadi cerminan semangat demokrasi sebenar apabila kempen dan ceramah dihadkan, malah perjumpaan calon dan pengundi dilakukan secara kecil-kecilan hingga menyukarkan calon bertanding menjangkau semua pengundi.

Pengundi juga menjauhi pilihan raya apabila hanya 65.85 peratus turun mengundi berbanding 84.7 peratus pada PRU14.

MAJORITI TIPIS

Jika diteliti kemenangan besar BN di Melaka banyak berkait dengan jumlah keluar mengundi yang rendah.

Kebanyakan pengundi atas pagar memilih menjauhi PRN Melaka atas faktor ancaman Covid-19 dan bosan dengan perbalahan politik berterusan.

Keadaan itu membolehkan UMNO yang menerajui BN mempunyai kelebihan berbanding parti lain.

Pengundi tradisi UMNO Melaka sendiri mewakili antara 30 hingga 40 peratus daripada jumlah pengundi dalam kebanyakan DUN.

Ditambah pula keadaan pola pengundian berpecah kepada tiga fraksi terbesar, UMNO tidak memerlukan banyak sokongan daripada pengundi atas pagar untuk menang kali ini.

Namun, jika ahli UMNO yang berfikiran keputusan Melaka akan diterjemahkan kepada seluruh negara, mereka perlu berhati-hati meletakkan harapan tersebut.

Pertama, mengadakan PRU hanya untuk cuba menang besar – ketika kita masih mencatatkan ribuan kes Covid-19.

Ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Jika gelombang kemarahan itu besar, BN mungkin mengulangi kesilapan PRU14.

Kedua, kebanyakan kerusi Parlimen di seluruh negara tidak lagi mempunyai peratusan jumlah pengundi UMNO seperti di Melaka.

Maknanya, mengharapkan keputusan Parlimen seperti DUN Melaka mungkin sukar walaupun dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Ketiga, kemenangan tipis BN di beberapa DUN menunjukkan keadaan tidak menentu.

Kekalahan di DUN Sungai Udang yang ditandingi Timbalan Pengerusi UMNO Melaka dan kemerosotan majoriti undi dari 2,864 kepada 364 undi di DUN Tanjung Bidara yang ditandingi Pengerusi UMNO Melaka menunjukkan kejayaan pada PRN itu bukan bukti kukuh majoriti rakyat kembali menyokong BN.

UMNO adalah sebahagian komponen BN yang menjanjikan usaha membawa kestabilan politik.

Justeru, tidak masuk akal setelah menjanjikan kestabilan di Melaka, UMNO cuba mewujudkan ketidakstabilan politik di peringkat nasional.

Dalam Bajet 2022, perancangan ekonomi untuk pemulihan negara harus diberi ruang untuk berjalan dahulu, bukannya berterusan mencari jalan merebut tampuk kuasa yang belum pasti.

Beri peluang Perdana Menteri melaksanakan usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi negara sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun hadapan. Utamakanlah kebajikan dan kehidupan rakyat.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat