Wings terus menggigit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masa berlalu, zaman berganti, namun Wings masih unggul antara kumpulan rock legenda tanah air.

Siapa mampu menidakkan kehebatan band ikonik yang gah dengan reputasi 37 tahun itu. Bersama rangkaian lagu popular yang meniti di bibir peminat generasi demi generasi, namun, tanpa keampuhan vokal ‘power’ vokalisnya, Datuk Awie, barangkali Wings sudah lama kecundang.

Tidak dinafikan, setiap kemunculan Wings di pentas persembahan sentiasa dinantikan peminat. Ini termasuklah Konsert Naga Kramat yang bergegar di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Nyata, pengikut setia tidak pernah hilang, malah generasi baharu turut tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert terakhir Wings di Kuala Lumpur, sebelum berehat panjang sehingga tahun depan.

Di hadapan 2,500 penonton, Wings masih berbisa dan mengganas. Usia 54 tahun bukan penghalang buat Awie mengekalkan keaslian suara seperti zaman kegemilangan Wings.

Ini membuktikan ‘Sayap-Sayap Wings’ tidak pernah berpaling tadah, biarpun ada masanya Wings juga timbul tenggelam, suatu masa dahulu.

Seawal jam 5 petang, peminat setia Wings sudah berkumpul di Zepp Kuala Lumpur. Walaupun ada antaranya sudah berusia, seusia dengan Wings, namun tetap bergaya rock dengan berjeans koyak, berjaket dan berkasut kulit yang kelihatan di mana-mana.

Kemunculan Awie selaku vokalis, Eddie (bes), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) di pentas kira-kira jam 9 malam disambut peminat dengan ‘simbol sayap’ yang juga simbolik nama kumpulan itu.

Wings membuka tirai persembahan dengan mendendangkan lagu Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing yang dipetik daripada album ke-10 pada 2002, Naga Kramat yang dipilih sebagai nama konsert kali ini.

Peminat tegar Wings pasti tahu kewujudan album Naga Kramat yang diterbitkan selepas Awie kembali ke pangkuan Wings. Pasti ramai masih ingat, Awie pernah membawa haluan sendiri pada 1993.

“Terima kasih kepada peminat, tak putus-putus menyokong Wings.

“Alhamdulillah, kami masih bertahan selama 37 tahun.

“Anda masih menyokong perjalanan Wings sejak 1985 hingga hari ini. Anda adalah kekuatan Wings,” kata Awie membuka bicara.

 

Wings masih kekal gah dengan reputasi selama 37 tahun bersama rangkaian lagu popular yang meniti di bibir peminat generasi demi generasi. - NSTP/Genes Gulitah
Wings masih kekal gah dengan reputasi selama 37 tahun bersama rangkaian lagu popular yang meniti di bibir peminat generasi demi generasi. – NSTP/Genes Gulitah

 

Wings terus menghangatkan persembahan menerusi lagu Bernafas Dalam Lumpur, Opera Hidup, Romania dan Hukum Karma. Sempat menyelitkan kiasan penuh makna, Awie berkata:

“Ini musim orang gila kuasa, kita hampir bernafas dalam lumpur.

“Jangan lagi bernafas dalam lumpur, cukup-cukuplah.

“Saya dendangkan lagu Romania, wujudkan kedamaian di Malaysia agar tidak berperang, rasis dan ‘poyo’.

“Lagu Hukum Karma pula bermakna buat baik dibalas baik, buat jahat jawab sendiri,” katanya berseloroh.

Biar kedengaran lucu sehingga disambut derai tawa penonton, hakikatnya terselit sindiran halus agar rakyat beringat dalam memberi sokongan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Memilih empat seleksi lagu popular era 1990-an itu untuk set kedua, bait-bait lirik lagu seakan kena dengan senario politik hari ini.

Persembahan Wings disusuli dengan lagu Ingatkan Dia yang cukup menjentik hati dan beremosi, diikuti Jerangkung Dalam Almari dan Awang Trasher.

Seperti dijanjikan, Wings turut menyampaikan lagu Ares Lament nyanyian Loudness, He’s A Woman She’s A Man dan Is There Anybody There nyanyian asal Scorpions menerusi segmen tribute bagi memperingati lagu rock Inggeris yang sering didendangkan ketika mula bertapak.

Seiring perjalanan hampir empat dekad, pujian harus diberi kepada Awie. Bukan hanya suaranya tidak berubah, malah, pandai menghiburkan peminat dengan celoteh lucu secara spontan hingga menggamatkan suasana.

Malah, watak Husin dalam lapan filem ciptaan Allahyarham Mamat Khalid iaitu Zombi Kampong Pisang; Hantu Kak Limah Balik Rumah; Husin; Mon & Jin Pakai Toncit; Zombi Kilang Biskut; Hantu Kak Limah; Kampong Pisang Bersiri-Siri dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa seakan tidak boleh dipisahkan.

 

Pengikut setia Wings tidak pernah hilang, malah generasi baharu turut tidak melepaskan peluang menyaksikan Konsert Naga Kramat di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu lalu. - NSTP/Genes Gulitah
Pengikut setia Wings tidak pernah hilang, malah generasi baharu turut tidak melepaskan peluang menyaksikan Konsert Naga Kramat di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu lalu. – NSTP/Genes Gulitah

 

Pasti ada jeritan dan usikan nakal peminat, disambut Awie dengan gaya Husin memecahkan suasana.

“Saya harap anda dapat kenang Wings sampai bila-bila… Ingatkan kami.

“Ini adalah konsert Wings terakhir dalam Kuala Lumpur untuk tahun ini. Kami akan berehat panjang sehingga selepas Aidilfitri.

“Wings akan kembali semula pada Mei, tahun depan, insya-Allah,” kata Awie.

Hakikatnya, Konsert Naga Kramat anjuran MW Mega dan Awie Entertainment meletakkan Wings dalam kelas tersendiri dan paling penting, masih boleh jual.

Sama ada dari segi persembahan vokal, muzik, penataan bunyi dan cahaya hingga kepada pilihan lagu.

Menerusi durasi konsert selama dua jam, Wings membuai hati peminat menerusi lagu Harapan, Taman Rashidah Utama, Bujang Senang, Lipas Kudung, Peronda Jaket Biru, Sejati, Gemuruh dan menutup tirai menerusi lagu Dalam Kehadiran Sofea.

Sebelum itu, Awie sempat meminta peminat mendoakan kesejahteraan Wings yang kali pertama menunaikan umrah bersama pada November ini.

“Doakan kami selamat pergi dan balik mengerjakan umrah di Makkah, November ini,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat