Palsukan sijil vaksinasi bawa masalah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak yang sanggup memalsukan sijil vaksinasi COVID-19 bagi mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) Khas daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mendatangkan masalah kepada syarikat produksi akur arahan kerajaan.

Penerbit dari Kembara Sufi Production Sdn Bhd, Jaja Ishak kesal masih ada pihak tidak jujur sedangkan syarikat produksi lain mematuhi syarat dan sanggup menunggu masa lama untuk mendapatkan SPP Khas daripada FINAS.

“Perkara ini amat dikesalkan. Cuba fikir perasaan kami yang sanggup menunggu masa lama untuk mendapatkan SPP Khas FINAS. Hendak mendapatkan SPP agak susah sekarang.

“Tapi kami sanggup tunggu sebab tidak mahu isu pemalsuan sijil vaksinasi berlaku. Jadi, apabila ada pihak yang melakukan perkara ini, ia menyusahkan orang lain.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana setakat ini, pegawai FINAS datang ke lokasi penggambaran kami. Semuanya selamat dan kami tidak terpalit dengan isu begini,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis Indigital Music Night di Restoran D’Empangan Udang Galah di Putrajaya, baru-baru ini.

Jaja berkata, kru dan artis yang terbabit dalam drama terbitan syarikatnya tidak berani memalsukan sijil vaksinasi.

“Kami tidak akan mengambil kru dan artis yang enggan mengambil vaksin lengkap. Kami tidak mahu perkara ini mendatangkan masalah pada masa akan datang,” katanya.

Jaja menegaskan tidak akan menawarkan ‘job’ kepada artis yang tidak mengambil vaksin COVID-19.

“Untuk memohon SPP Khas, kena ada sijil vaksin daripada semua orang yang terbabit. Kalau tidak mahu ambil vaksin, itu pilihan mereka.

“Cuma mereka kena terima hakikat, kalau tidak menepati syarat, mereka tidak boleh terbabit dalam projek kami.

“Ada nama yang kami terpaksa gugurkan, bukan saja artis, malah kru kerana tidak mahu mengambil vaksin,” katanya.

 

Penerbit, Jaja Ishak kesal masih ada pihak tidak jujur sedangkan syarikat produksi lain mematuhi syarat dan sanggup menunggu masa lama untuk mendapatkan SPP Khas daripada FINAS. - Foto IG Jaja Ishak
Penerbit, Jaja Ishak kesal masih ada pihak tidak jujur sedangkan syarikat produksi lain mematuhi syarat dan sanggup menunggu masa lama untuk mendapatkan SPP Khas daripada FINAS. – Foto IG Jaja Ishak

 

Selain pematuhan syarat vaksin, Jaja berkata, pihaknya juga memastikan kru dan artis tidak terbabit dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah yang tular, baru-baru ini.

“Saya hanya mengambil kru dan pelakon yang dikenali dan pernah bekerja dengan saya. Ini termasuk individu yang saya yakin tidak terbabit dengan gejala negatif yang boleh menyebabkan reputasi syarikat produksi saya, terjejas.

“Saya tidak akan berkompromi dengan artis dan kru termasuk pasukan pengurusan yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Sekiranya terbukti mereka terbabit dengan kegiatan negatif, saya akan gugurkan nama mereka. Apabila kita memegang konsep ‘tak kantoi, tak mengapa’, ini akan membawa masalah besar,” katanya.

Bertanya cabaran melakukan kerja penggambaran selepas satu demi satu permasalahan timbul, Jaja mengaku kerja lebih sukar berbanding sebelum pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun, saya sudah beri garis panduan kepada syarikat produksi agar lebih teliti. Kami buat pemeriksaan dua kali lebih ketat berbanding sebelum ini,” katanya.

Syarikat Kembara Sufi Production sedang menjayakan beberapa projek penggambaran antaranya seperti drama mengisi slot Samarinda di TV3, iaitu Saat Kau Takluk Cinta Ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat