Bajet PH cadang suntikan dana RM45 bilion untuk COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan Bajet PH 2022 yang antara lain mencadangkan suntikan dana segera sebanyak RM45 bilion untuk membiayai impak pandemik COVID-19 dan persediaan ke arah endemik.

Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan suntikan dana itu adalah bagi membiayai inisiatif pemerkasaan perkhidmatan kesihatan dan membantu isi rumah serta perniagaan.

“Kami menyeru suntikan dana segera berjumlah RM45 bilion seperti yang dimeterai dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH,” katanya pada majlis pembentangan bajet itu kepada media di Bangunan Parlimen hari ini.

Bajet itu dibentang oleh Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi PH Tony Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

Turut hadir Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Antara cadangan perbelanjaan dalam peruntukan itu ialah RM4 bilion kepada Kementerian Kesihatan bagi menaik taraf kapasiti dan keupayaan hospital termasuk kakitangan serta alat kelengkapan perubatan untuk menampung beban ke atas sistem kesihatan akibat COVID-19.

Ia juga bagi meningkatkan bilangan kakitangan perkhidmatan kesihatan awam termasuk menangani isu pekerja kontrak.

Bajet bertema ‘Pemugaran dan Memperkuat Semula’ itu turut mencadangkan peruntukan bagi memartabatkan institusi Parlimen sebagai platform dwipartisan tulen yang berkesan, menyokong pemulihan golongan rentan, mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik dan mempertingkat jaringan keselamatan sosial.

Turut diberi perhatian ialah mengukuhkan perkhidmatan sosial, memastikan taraf hidup dan mobiliti yang baik, melindungi wanita dan kanak-kanak serta langkah-langkah khusus untuk Sabah dan Sarawak.

Pua juga berkata sebanyak 13 pertemuan dilakukan dengan pihak kerajaan bagi memajukan cadangan bajet itu supaya ia dipertimbang dalam Bajet 2022 yang akan dibentang di Parlimen Jumaat ini.

“Secara prinsipnya, Menteri Kewangan bersetuju dengan 90 peratus cadangan belanjawan ini, kita lihat sahaja pembentangan Bajet Jumaat ini,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat