KETELUSAN PERIKATAN NASIONAL VS KEBIMBANGAN PAKATAN HARAPAN

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Isu berkenaan 101 projek rundingan terus semasa zaman Pakatan Harapan memerintah Malaysia masih lagi hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak. Seperti yang kita semua maklum, di dalam manifesto Pakatan Harapan, jelas tertulis bahawa sekiranya mereka diberikan peluang untuk memerintah Malaysia, tiada lagi projek rundingan terus akan berlaku kerana setiap projek yang dilaksanakan perlulah melalui proses tender terbuka.

Namun perkara itu tidak terjadi semasa Pakatan Harapan memerintah, kerana dikhabarkan masih ada lagi projek-projek yang dilaksanakan secara rundingan terus, terutamanya bagi projek-projek yang berkaitan dengan Kementerian Kewangan Malaysia (Ministry of Finance Malaysia) yang diketuai oleh menterinya pada ketika itu YB Lim Guan Eng.

Pendedahan yang dibuat oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Zafrul ini, disambut meriah oleh ahli parlimen Barisan Nasional yang pada ketika ini menyokong Perikatan Nasional. Mungkin kerana perkara ini memperlihatkan sifat hipokrit Mantan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng yang selama ini sering bercerita tentang tender terbuka dan menyifatkan semua projek rundingan terus adalah tidak beretika dan salah dari segi integriti.

Semasa sidang parlimen 24 Ogos 2020, jelas kelihatan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan cuba untuk mengalihkan isu dengan mengaitkan kononnya, menteri-menteri dan ahli parlimen yang berada di pihak kerajaan sekarang juga menyokong perkara tersebut. YB Lim Guan Eng turut berkata bahawa segala keputusan yang dibuat telah dibawa untuk dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet.

Namun begitu perkara ini telah disangkal oleh ahli parlimen Gombak, YB Datuk Seri Azmin Ali, yang menjelaskan bahawa perkara ini tidak pernah dibawa di dalam mesyuarat kabinet, sekaligus menyebabkan dewan sekali lagi digamatkan dengan ahli-ahli parlimen dari PKR yang bangun dan menyerang Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri itu dengan kata-kata ejekkan yang bersifat keanak-anakkan.

Pada 26 Ogos 2020, Kementerian Kewangan Malaysia mengeluarkan satu siaran akhbar yang bertajuk “Senarai 101 Projek Bernilai RM6.61 bilion Melalui Perolehan Kerajaan Secara Rundingan Terus” yang menyenaraikan jumlah dan nilai projek yang telah diluluskan melalui proses rundingan terus sehingga mencecah RM 6.61 billion.

*Antara 20 kementerian yang terlibat adalah Kementerian Dalam Negeri (yang dahulunya ditadbir oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia terkini), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (yang dahulunya ditadbir oleh Datuk Seri Azmin Ali, kini Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri) dan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, yang masih lagi memegang portfolio tersebut).*

Di dalam siaran akhbar tersebut juga diterangkan bahawa secara dasarnya, proses rundingan terus untuk projek-projek tertentu bukanlah satu kesalahan, malah sekiranya terdapat keperluan mendesak, ia boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia sendiri.

Namun begitu, kita tidak mengerti mengapa Pakatan Harapan begitu defensif apabila perkara ini dibicarakan di Parlimen. Pakatan Harapan juga terlalu cepat untuk menunding jari ke arah bekas rakan karib mereka di dalam Perikatan Nasional dengan terburu-buru memberikan kata-kata kecaman dan nista.

*YB Zuraida Kamaruddin di dalam satu kenyataan akhbar pada 27 Ogos 2020 telah berkata bahawa beliau tidak mengetahui berkenaan perihal projek rundingan terus itu. Ini merupakan satu perkara yang benar kerana tanggungjawab untuk meluluskan dana tersebut bukanlah di atas tangan beliau tetapi berada di atas keputusan dan perkenan Menteri Kewangan Malaysia pada masa itu, iaitu YB Lim Guan Eng. Mungkin juga YB Zuraida Kamaruddin hanya maklum mengenai projek ini apabila ia telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan, yang mana beliau sendiri tiada langsung campur tangan dalam hal tersebut.*

Dalam keterujaan untuk membela Pakatan Harapan, Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Fahmi Fadzil dengan nada menyindir berterima kasih kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Zafrul kerana kononnya beliau telah menjaringkan gol sendiri. Ini merupakan satu pendapat yang amat dangkal dan tidak bertanggungjawab kerana apa yang Menteri Kewangan lakukan pada ketika ini adalah bukti ketelusan yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Ketelusan ini nampaknya amat menggugat dan membimbangkan Pakatan Harapan, kerana pada masa mereka memerintah, Kementerian Kewangan yang sepatutnya menjadi penjaga atau “gate keeper” telah gagal untuk melaksanakan manifesto mereka, iaitu untuk menjalankan tender terbuka dalam semua projek yang akan diluluskan.

Jika para pembaca berkesempatan, sila lihat semula rakaman sidang parlimen yang bertarikh 24 Ogos 2020 yang lalu. Nilaikan sendiri bagaimana khuatirnya para pemimpin Pakatan Harapan apabila Menteri Kewangan “menceritakan” bagaimana terdapat 101 projek dengan nilai RM 6.61 billion telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan melalui proses rundingan terus.

Bandingkan pula dengan reaksi para pemimpin Perikatan Nasional dan juga ahli Parlimen Barisan Nasional yang jelas tidak gentar dengan apa yang telah didedahkan oleh YB Senator Tengku Zafrul. Apabila telah melihat reaksi kedua-dua pihak ini, nilaikan dengan adil. Persoalannya kini, jika benar mereka jujur dan telus dalam mentadbir Malaysia pada ketika itu, mengapa mereka takut dengan pendedahan ini? Berani kerana benar, takut kerana salah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat