Portal Malaysianow Disekat, Masih Tunggu Respons Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sejak petang semalam, laman sesawang MalaysiaNow di www.malaysianow.com tidak dapat diakses oleh sebahagian besar pembaca.

Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdar Rahman Koya berkata, siasatan pakar teknikal Malaysianow bagaimanapun tidak menunjukkan apa-apa aktiviti luar biasa terhadap server portal itu.

“Kami juga mendapati tiada sebarang serangan ke atas laman sesawang kami.

“Apa yang kami boleh katakan pada masa ini ialah sekurang-kurangnya pengguna dua rangkaian mudah alih – Celcom dan Maxis – tidak dapat mengakses laman sesawang kami.

“Aduan kepada kedua-dua perkhidmatan itu dibalas dengan jaminan bahawa tidak ada apa-apa perubahan dibuat yang boleh menjejaskan pengguna melayari www.malaysianow.com.

“Kami terus menerima pembaca dari luar Malaysia, namun jumlah biasa pembaca tempatan kami hampir separuh. Ini mungkin kerana pengguna Celcom dan Maxis tidak boleh mengakses laman kami,” kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Abdar Rahman, pihaknya mendapati pengguna tidak mempunyai masalah untuk mencapai MalaysiaNow melalui perkhidmatan VPN, yang membolehkan akses kepada laman sesawang yang disekat.

“Ini bermakna, ada kemungkinan wujud satu cubaan di luar undang-undang bagi menyekat laman sesawang kami.

“Usaha untuk menghubungi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil tidak berjaya.

“Seorang pembantunya berulang kali memberitahu beliau “sibuk”,” ujarnya lagi.

Bahkan kata beliau, pembantu Menteri Komunikasi dan Digital itu turut mendakwa MalaysiaNow tidak disekat, sebaliknya berkata mereka sedang menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, badan yang diberi kuasa untuk menyekat akses terhadap laman sesawang.

“Jawapan yang diberikan ini langsung tidak membantu.

“Buat masa ini, kami meminta pembaca yang tidak dapat mengakses MalaysiaNow untuk menggunakan pautan ini: https://tinyurl.com/4uexxmu4
Setelah meneliti masalah teknikal, kami akan membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dalam masa terdekat.

Kami ingin menyatakan hak kami mengambil apa-apa langkah yang dibenarkan undang-undang dalam menangani sebarang pelanggaran kuasa oleh mana-mana pihak yang mengakibatkan laman sesawang kami tidak dapat diakses,” jelas Abdar Rahman.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat