MCMC siasat aduan berkaitan Aliff Aziz – Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sejumlah aduan mengenai tindakan berterusan individu tertentu ‘membuka aib’ berkaitan hal peribadi selebriti kontroversi, Aliff Aziz menerusi media sosial.

Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya mengarahkan MCMC meneliti kesemua aduan terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya, berlandaskan undang-undang.

“Ada yang (mendakwa tindakan lambat diambil dalam kes Aliff Aziz), tetapi perlu diberitahu di sini, aduan (mengenai tindakan buka aib) baru dibuat, mungkin dalam sehari dua ini oleh sejumlah orang awam. Ia (aduan) tak boleh datang daripada saya atau MCMC, tetapi daripada orang awam. MCMC akan ambil tindakan jika ada laporan.

“Bukan dengan cara kita ‘tag’ Fahmi Fadzil dalam media sosial, itu bukan laporan. Jadi, pada sesiapa nak buat sebarang aduan, ia perlu dibuat secara rasmi, kemudian kita teliti secara mendalam dan ambil tindakan berlandaskan undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Media Prima Berhad, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menggesa wanita mendakwa kekasih Aliff Aziz, iaitu Sarah Yasmine berhenti mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang dianggap boleh mengeruhkan keadaan hingga menjejaskan imej dan kredibiliti industri kreatif.

Setiausaha Agung SENIMAN, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, sejak tercetus kontroversi Aliff dan Ruhainies ditangkap khalwat dan pendedahan dibuat Sarah, pelbagai pihak membuat andaian yang sedikit sebanyak menjejaskan imej dan kredibiliti industri hiburan tanah air.

Dalam pada itu, pengarah dan penerbit, Erma Fatima turut mendesak menggesa Sarah Yasmine menghentikan perbuatan membuka aib beberapa selebriti tempatan, sebaliknya, menyelesaikan kemelut yang disifatkan memalukan industri seni itu bersama Aliff.

Erma turut menggesa individu yang terkait dalam pendedahan dibuat wanita dipercayai berasal Singapura itu membuat laporan polis, demi menjaga reputasi mereka daripada terus tercalar.

Fahmi turut berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima perincian lanjut mengenai aduan terbabit, termasuk jumlah laporan diterima dan individu yang dituduh melakukan kesalahan berkenaan.

Ditanya mengenai bidang kuasa MCMC bagi menurunkan kandungan dikenal pasti berkongsi perkara’mengaibkan’, katanya, setakat ini, pihaknya bergantung kepada kerjasama platform media sosial untuk berbuat demikian.

“Penting untuk saya sebut di sini, (untuk turunkan sesuatu kandungan), ia bergantung kepada platform (media sosial). Kita boleh minta kerjasama daripada mereka tetapi tidak boleh paksa mereka menurunkannya). Platform hanya turunkan jika ia bersetuju bahawa kandungan (terbabit) melanggar undang-undang.

“Ada masanya, MCMC minta kandungan tertentu diturunkan, tetapi mereka tak berbuat demikian. Jadi bila ornag kata saya kuku besi, itu tak betul…kerana akhirnya bergantung kepada platform sama ada setuju (berbuat demikian),” katanya.

Fahmi yang turut ditanya sama ada kerajaan sedia mengkaji untuk memberikan kuasa sepenuhnya kepada MCMC bagi memadam paparan kandungan berunsur fitnah, hasutan dan kebencian di media sosial, jelasnya, ia akan dipertimbangkan.

“Ketika ini tidak ada lagi (bidang kuasa sedemikian). Kita akan pertimbangkan (pada masa depan),” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat