Dua Beregu Skuasy Negara Mara Ke Separuh Akhir Kejohanan Asia

- Advertisement -

PETALING JAYA – Ujian sebenar menanti dua beregu Malaysia, Aifa Azman-Mohammad Syafiq Kamal dan Rachel Arnold-Ivan Yuen pada separuh akhir, esok selepas menundukkan lawan masing-masing di suku akhir Skuasy Beregu Campuran Asia di Hangzhou, China, hari ini.

Aifa-Syafiq yang diletakkan selaku pilihan pertama mudah mengetepikan beregu Hong Kong, Tong Tsz Wing-Tang Ming Hong 11-7, 11-1.

Sementara, Rachel-Ivan turut mengalahkan satu lagi pasangan Hong Kong, Cheng Nga Ching-Matthew Lai 11-3, 11-7.

Bagaimanapun, impian untuk menyaksikan pertemuan sesama sendiri dalam salah satu separuh akhir tidak kesampaian apabila gandingan negara, Noor Ainaa Amani Ampandi-Muhammad Addeen Idrakie tumpas ditangan pilihan ketiga, Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh dari India 3-11, 4-11.

Aifa-Syafiq yang diletakkan harapan untuk memburu pingat emas pada Sukan Asia, September ini bakal berdepan Dipika-Harinder, manakala, Rachel-Ivan pula menghitung pertemuan dengan satu lagi pasangan India, Anahat Singh-Abhay Singh.

Sejauh mana peluang Malaysia untuk menggondol pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu boleh diukur menerusi separuh akhir, esok, kerana beregu India khususnya gandingan Dipika-Harinder merupakan ujian sebenar buat Aifa-Syafiq.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam ketika dihubungi berkata, beliau menjangkakan pertemuan antara Aifa-Syafiq menentang Depika-Harinder akan berlangsung sengit.

“Saya berharap mereka mampu meraih keputusan yang baik pada separuh akhir menentang Depika-Harinder.

“Begitu juga dengan Rachel-Ivan yang turut berdepan satu lagi pasangan India, Anahat-Abhay,” katanya.

Mengulas mengenai aksi suku akhir, Maniam memberitahu, Aifa-Syafiq dan Rachel-Ivan mempamerkan persembahan mantap berdepan dua beregu Hong Kong.

“Dalam game pertama, Aifa-Syafiq diberi tentangan sengit sebelum menutup permainan dengan kemenangan 11-7 dan dalam set kedua pula, mereka beraksi lebih mantap serta fokus dan ia berakhir dengan kemenangan mudah 11-1.

“Untuk pertemuan Ivan-Rachel, mereka bermula sangat baik dan mempamerkan corak permainan menyerang, walaupun ada beberapa kesilapan dilakukan, tetapi mereka akhirnya beroleh kemenangan,” ujarnya.

Bercakap pula mengenai persembahan Ainaa-Addeen yang tunduk kepada Dipika-Harinder, beliau menjelaskan, pasangan negara itu gagal melepasi pertahanan kental beregu India tersebut sehingga kalah straight set. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat