KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan Nepal dan operator pendakian Everest bagi membolehkan tempoh pencarian pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran Malaysia Everest 2023, Muhammad Hawari Hashim dilanjutkan.
Timbalan Presiden Kelab Eksplorasi Altitud, Murshid Maktab berkata, beberapa peralatan teknologi dibawa dari Malaysia termasuk dron yang berupaya mengesan haba dijangka tiba di Nepal pada Isnin bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu
Menurutnya, aktiviti pendakian ke kemuncak tertinggi dunia itu akan ditutup secara rasmi pada esok dan hanya akan dibuka semula pada tahun depan.
“Buat masa ini rundingan melibatkan Kedutaan Malaysia di Nepal masih lagi berjalan (dengan kerajaan Nepal dan operator Everest).
“Kalau rundingan itu berjaya, pencarian mungkin akan ditambah 10 hari lagi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Murshid berkata, kali ini, keseluruhan tenaga operasi percarian akan bertumpu di satu-satu kawasan misalnya ke kem empat, kemudian ke kem tiga, kem dua dan satu.
“Kalau sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat berpecah kepada beberapa kumpulan dan bergerak secara berasingan,” ujarnya.
Menurut beliau, setakat ini, operasi pencarian di sepanjang laluan ke kemuncak itu sudah digiatkan namun masih lagi gagal.
“Sekarang kita luaskan (operasi) kepada jurang-jurang termasuk celahan bongkah dan sebagainya,” katanya.
Kehilangan Muhammad Hawari memasuki hari kelapan selepas beliau dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu.
Beliau berjaya menawan puncak Everest pada 18 Mei lalu. – Awani