Malaysia Terima 12.8 Juta Dos Vaksin Covid-19 Tahun Depan – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Malaysia akan memperolehi sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 pada tahun depan yang dijangka dapat menampung keperluan imunisasi untuk kira-kira 6.4 juta rakyat negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin itu dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada 24 November lalu.

Beliau menjelaskan perjanjian pembelian awal itu bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut.

Selain itu, katanya lagi, ia juga dapat menjamin akses kepada vaksin tersebut apabila ia sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat berkenaan.

“Pfizer pada 9 November 2020 menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin tersebut adalah 95 peratus.

“Melalui perjanjian ini juga, Pfizer telah menjanjikan penghantaran sebanyak satu juta dos bagi suku pertama tahun 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat,” katanya, pada sidang media khas hari ini.

Turut hadir sama ketika sidang media tersebut ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menjelaskan lebih lanjut, Muhyiddin berkata, sebelum vaksin syarikat farmaseutikal itu boleh digunakan, ia perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Terdahulu pada 22 November 2020, Malaysia melalui Menteri Kesihatan juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

“Sehubungan itu, kedua-dua perjanjian ini dijangka dapat menjamin akses vaksin Covid-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setelah vaksin diperolehi kelak, proses pemberian vaksin akan dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan kepada kumpulan berisiko tinggi.

“Kumpulan berisiko tinggi ini termasuk petugas-petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya.

“Seterusnya, vaksin ini juga akan diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain,” ujarnya.

Dalam masa yang sama menurut beliau lagi, KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) giat meneruskan rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin lain dalam usaha mendapatkan akses vaksin Covid-19 yang secukupnya untuk rakyat Malaysia.

Serentak dengan itu, beliau mengumumkan KKM bakal memulakan satu kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 menerusi inisiatif Kerajaan-dengan-Kerajaan (G2G) bersama Republik Rakyat China (RRC).

“Vaksin ini dibangunkan oleh Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

“Kajian klinikal fasa tiga itu akan melibatkan sejumlah 3,000 peserta dan akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu.

“Kajian yang dijangka bermula pada bulan Disember 2020 akan dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan telahpun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR),” katanya.

Tambahnya lagi, profil keselamatan vaksin akan diteliti oleh NPRA bagi tujuan mendapatkan Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL), manakala protokol kajian akan dilakukan oleh Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

“Kajian klinikal fasa ketiga itu juga akan melibatkan lapan buah pusat penyelidikan klinikal di bawah seliaan KKM,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IMBCAMS yang akan bekerjasama menjalankan kajian klinikal fasa ketiga itu di negara ini.

“Kerajaan juga ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan di Malaysia mesti melepasi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh NPRA. Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam soal ini,” tegasnya.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat