Hati ‘Kak Limah’ remuk, tersentak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mana mungkin, pelakon berpengalaman, Delimawati Ismail, 63, melupakan jasa insan bernama Mamat Khalid yang mewujudkan watak hantu ikonik dan eksklusif, Kak Limah yang dilakonkannya.

Watak Kak Limah ciptaan sutradara prolifik dalam filem Hantu Kak Limah, Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit dan Hantu Kak Limah Balik Rumah itu bukan sahaja meledakkan nama Delimawati, malah menjadi ‘trademark’ dalam kalangan peminat filem komedi seram.

Populariti Kak Limah mengangkat nama wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak membolosi kelompok Top 5, Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 pada usia 61 tahun. Malah, impak watak Kak Limah masih kuat dan diterima hingga hari ini.

Namun, hati Delimawati remuk mendapat perkhabaran sedih atas pemergian insan berhati mulia yang dianggap seperti adik dijemput Ilahi akibat serangan jantung, kelmarin.

Delimawati berkata, dia tersentak, bagaikan tidak percaya pengarah berkaliber itu sudah tiada.

“Mulanya, saya seakan tidak percaya arwah sudah tiada. Saya dapat berita sedih sekitar jam 2.30 pagi menerusi rakan.

“Saya anggap berita ini tidak benar. Tetapi, inilah hakikat harus ditelan dengan penuh keredaan,” katanya kepada BH Online.

Katanya, lebih membuatkan hatinya sedih apabila tiada rezeki memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

“Saya betul-betul rasa bersalah. Niat hati nak sangat mengiringi perjalanan akhir arwah hingga ke tempat persemadiannya.

Namun, kita hanya mampu merancang, Allah juga menentukannya.

“Saya akui, sudah lama tidak bertemu arwah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kali terakhir kami bertemu sebelum pandemik COVID-19 menular kira-kira dua tahun lalu.

“Malah, kami ada berbincang untuk projek seterusnya, namun, Allah lebih sayangkannya,” katanya.

 

Watak Kak Limah ciptaan Allahyarham Mamat dalam filem Hantu Kak Limah bukan sahaja meledakkan nama Delimawati, malah menjadi ‘trademark’ dalam kalangan peminat filem komedi seram.
Watak Kak Limah ciptaan Allahyarham Mamat dalam filem Hantu Kak Limah bukan sahaja meledakkan nama Delimawati, malah menjadi ‘trademark’ dalam kalangan peminat filem komedi seram.

 

Mengenali dan mendekati sutradara penuh dengan sikap humor itu, Delimawati menyifatkan arwah yang berpangkat adik kepadanya sangat mengambil berat.

“Arwah mudah didekati dalam segenap aspek. Beliau juga seorang adik yang baik.

“Jujurnya, arwah adalah insan paling kerap bertanya khabar dan mengambil berat terhadap pelakon yang pernah bekerjasama dengannya,” katanya.

Menyentuh popularitinya menerusi filem arahan arwah, Delimawati berkata, dia selalu tersenyum sendiri mengenang impak watak Kak Limah yang begitu sinonim dengannya.

Malah, katanya, peminat lebih mengenali Kak Limah daripada dirinya sendiri.

“Watak Kak Limah terlalu banyak jasa kepada saya. Satu hakikat yang diakui, nama saya mula dikenali disebabkan arwah apabila membintangi telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pada 1998.

“Saya selesa bekerja dengan arwah disebabkan memahami saya. Disebabkan karakter Kak Limah, budak-budak tak kenal saya sebagai Delimawati, sebaliknya terus melekat dengan panggilan ini.

“Mulanya, saya memang tidak selesa, tetapi saya terpaksa senyum sahaja apabila terhasilnya filem Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit dan Hantu Kak Limah Balik Rumah,” katanya yang mula menceburi dunia lakonan sejak 1987.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat