Unimap diiktiraf 5 bintang

- Advertisement -

SISTEM pengajian atas talian pada hari ini sudah menjadi ‘normal baharu’ dalam kehidupan dan ia termasuk kaedah pengajaran untuk pelajar siswazah.

Boleh dikatakan hampir semua institusi pengajian tinggi (IPT) pada hari ini menggunakan sistem pengajian secara dalam talian sama ada dalam bentuk penstriman secara langsung ataupun kuliah rakaman untuk pelajar.

Melihat kepada aspek kuliah dalam talian ini, ia sememangnya berkesan kerana boleh mewujudkan ‘kelas maya’ tidak mengira tempat atau masa malah pelajar boleh mengikuti jadual kuliah seperti biasa.

Situasi pandemik hari ini memaksa semua peringkat terutamanya golongan pelajar untuk hidup dalam satu suasana baharu walaupun segelintir pihak beranggapan bahawa kuliah maya ini pastinya tidak sama dengan pengajian konvensional di kelas.

Untuk pendekatan baharu itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) antara IPT yang berjaya mempraktikkan sehingga berjaya menerima pengiktirafan penuh lima bintang bagi aspek pembelajaran dalam talian berdasarkan penilaian penarafan bintang oleh Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS).

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, kejayaan memperoleh penarafan lima bintang bagi aspek pembelajaran dalam talian adalah suatu pencapaian yang amat membanggakan yang antara lainnya disumbangkan oleh pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCA) serta Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (SQM).

 

KELAS  atas talian menjadi pendekatan baharu dalam sistem pengajian siswazah ketika ini dalam meneruskan usaha skim pembelajaran.
KELAS atas talian menjadi pendekatan baharu dalam sistem pengajian siswazah ketika ini dalam meneruskan usaha skim pembelajaran.

 

Beliau berkata, ketika situasi dunia yang masih berdepan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19, kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa UniMAP sentiasa berusaha menawarkan kemudahan yang terbaik buat pelajar.

“Buat masa sekarang seluruh institusi pendidikan di dunia malah di negara ini terkesan dengan wabak ini, justeru penawaran aspek pengajaran dalam pembelajaran (PdP) secara dalam talian adalah solusi terbaik dalam memastikan setiap pelajar dapat meneruskan kuliah seperti biasa.

“UniMAP sendiri sentiasa mencari kaedah terbaik dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan pada masa sama memberikan inisiatif yang terkini kepada pelajar.

“Kejayaan ini bukan semata-mata untuk institusi, tetapi buat seluruh warga UniMAP termasuk pensyarah dan pelajar yang sentiasa memberikan komitmen tinggi untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dalam menguasai PdP secara dalam talian ini,” katanya kepada #ITMetro, baru-baru ini.

QS Intelligence Unit adalah satu organisasi audit berprestij yang berpusat di London dan terkenal sebagai salah satu organisasi pengauditan universiti melalui Penarafan Dunia QS.

 

NAIB Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad menyatakan UniMAP sentiasa memastikan kaedah baharu pengajian diteruskan tanpa sebarang masalah biarpun ketika ini dunia sedang menghadapi krisis kesihatan.
NAIB Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad menyatakan UniMAP sentiasa memastikan kaedah baharu pengajian diteruskan tanpa sebarang masalah biarpun ketika ini dunia sedang menghadapi krisis kesihatan.

 

Badlishah berkata, dalam memastikan semua pelajar dapat mengikuti PdP dengan berkesan, UniMAP semenjak tahun lalu telah melaksanakan transformasi e-mel ke perkhidmatan awanan (Clouds) iaitu dengan menggunakan perkhidmatan e-mel percuma yang disediakan oleh Gmail di bawah lesen GSuite For Education.

Menurutnya, ia membabitkan semua sektor pendidikan seperti Google Drive, Google Meet, e-mel dan kalendar yang membolehkan sehingga kini semua staf dan pelajar UniMAP menggunakan perkhidmatan percuma yang dibekalkan oleh Gmail.

“Pada sesi kali ini, UniMAP menawarkan tambahan platform PdP iaitu Cisco WEBEX dan Microsoft Teams yang boleh digunakan oleh lebih 1,200 warga akademik UniMAP dalam mengendalikan kuliah dan tutorial masing-masing.

“Bagi memperkasakan lagi proses PdP, capaian internet di dalam kampus juga telah ditingkatkan iaitu dari 2Gbps kepada 10 Gbps dan ia bakal memberikan manfaat kepada pelajar terutama dari zon hijau yang akan mula kembali ke kampus awal November ini,” katanya.

 

SISTEM konvensional iaitu pengajaran di dalam kelas dilihat tidak boleh digunakan ketika pandemik sekali gus memerlukan inisiatif baharu untuk memastikan pembelajaran siswazah tidak ketinggalan.
SISTEM konvensional iaitu pengajaran di dalam kelas dilihat tidak boleh digunakan ketika pandemik sekali gus memerlukan inisiatif baharu untuk memastikan pembelajaran siswazah tidak ketinggalan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat