Hari Kedua Paralimpik Tokyo Medan Perbaiki Rekod Peribadi

- Advertisement -

TOKYO: Walaupun tidak membutir sebarang pingat namun empat rekod peribadi berjaya dilakar oleh wakil negara pada hari kedua Sukan Paralimpik Tokyo, pada Khamis.

Peluang terbaik negara untuk meraih pingat hadir menerusi Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dalam acara renang 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) namun beliau terpaksa tunduk kepada kehebatan perenang lain selepas menamatkan renangannya di tangga ketujuh dalam aksi final di Pusat Akuatik Tokyo.

Bagaimanapun, atlet dari Sarawak itu sepatutnya berbangga apabila berjaya melakar rekod peribadi baharunya dengan 1 minit 15.12 saat sekali gus memadam catatan terbaiknya sebelum ini iaitu 1:15.39s di London, United Kingdom pada 2019.

Atlet Itali, Francesco Bocciardo merangkul emas dengan catatan 1:09.56s diikuti perenang China, Lichao Wang dengan merekod masa 1:10.45s dan Daniel de Faria Dias dari Brazil gagal mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 apabila meraih gangsa dengan 1:10.80s.

Aksi di Velodrom Izu pula menyaksikan tiga wakil berbasikal trek negara memperbaharui catatan peribadi terbaik walaupun tidak berupaya mencabar kedudukan podium dalam acara disertai mereka.

Gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya, Nurul Suhada Zainal meraih tempat kesembilan dalam acara trek ujian masa 1000m wanita B (kecacatan penglihatan) dengan merekodkan 1:15.005s untuk mengatasi rekod terdahulu di Sukan Para Asia 2018, 1:16.839s.

Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula memperbaharui rekod terbaiknya bagi acara kejar-mengejar 3000m lelaki C1 (kecacatan fizikal) dengan masa 3:58.413s, bagi memperbaiki rekod terdahulu di Milton, Kanada tahun lepas iaitu 4:02.959s.

Namun, ia tidak cukup bagi pelumba berusia 23 tahun itu untuk sekurang-kurangnya beraksi pada perlumbaan penentuan pingat gangsa selepas menduduki tangga ketujuh daripada 10 pelumba dalam saingan kelayakan.

Acara ujian masa 1000m lelaki C4-5 (kecacatan fizikal) menyaksikan Zuhairie Ahmad Tarmizi bukan sahaja meraih tangga kesepuluh malah mencatat masa 1:06.472s untuk memadam rekod peribadi terdahulu iaitu 1:07.863 juga di Milton.

Seorang lagi pelumba, Muhammad Hafiz Jamali mencatat masa 1:11.288s untuk menempatkan diri di kedudukan ke-19 daripada 21 pelumba secara keseluruhan.

Sementara itu, penampilan sulung pemain ping pong perseorangan lelaki negara, Chee Chaoming berakhir dengan kekecewaan apabila ditunjuk jalan keluar lebih awal selepas tewas dua perlawanan kelayakan peringkat Kumpulan C.

Bermain dalam kategori TT9 (kecacatan fizikal), Chaoming yang telahpun tewas pada aksi pertama semalam kepada pemenang gangsa Rio 2016, Mohamed Kalem dari Itali 6-11, 7-11, 4-11, tidak berupaya menyelamatkan dirinya apabila tumpas di tangan pesaing dari Great Britain, Joshua Stacey, 6-11, 8-11, 9-11 pada aksi kedua pagi semalam.

Perlawanan di sebelah petang pula menyaksikan Chaoming yang dilahirkan dengan jari pendek, melengkapkan penampilan sulungnya di pentas Paralimpik juga dengan kekalahan di tangan pemenang emas empat kali, Ma Lin dari Australia 5-11, 6-11, 7-11.

Sukan Paralimpik yang membuka tirai secara rasmi Selasa lepas akan berakhir pada 5 Sept ini.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat